Saturday, 2 November 2013

Hotel Traders janji ketenangan

Dekorasi lobi Hotel Traders, Nusajaya yang berteraskan alam semula jadi mampu memberikan ketenangan kepada pengunjung.

Johor kini memiliki sebuah lagi hotel bertaraf empat bintang baharu iaitu Hotel Traders yang terletak berhadapan Puteri Harbour, Nusajaya berhampiran pusat pentadbiran kerajaan negeri.

Dengan kedudukannya berhampiran Sanrio Hello Kitty Town, The Little Big Club, Lat's Place dan Taman Tema Legoland menjadikan hotel setinggi empat tingkat dengan tiga blok bangunan itu sebagai lokasi pilihan untuk pelancong yang berkunjung ke Johor.

Hotel itu juga mudah untuk dikunjungi kerana terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) serta Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour yang menghubungkan Malaysia dengan Harbour Front, Singapura serta Tanjung Balai, Karimun dan Batam di Indonesia.

Memasuki lobi hotel tersebut, para pengunjung akan tertarik dengan dekorasi yang disediakan di lounge yang menampilkan hiasan berteraskan alam semula jadi yang mampu memberikan ketenangan kepada para pengunjung.

Pengurus Komunikasinya, Aidah Abd. Rahman berkata, hotel yang bernaung di bawah jenama Hotel Shangri-La itu memiliki kira-kira 283 bilik yang dilengkapi dengan ciri-ciri unik yang menampilkan konsep 'resort di pinggir marina', selain turut menampilkan hiasan dalaman berteraskan pantai, laut dan ombak.

Katanya, hotel yang dibuka pada Jun lalu itu menawarkan variasi bilik yang pelbagai bersesuaian dengan keperluan pengunjung selain turut menyediakan bilik yang direka khas untuk golongan kurang upaya khususnya bagi mereka yang menggunakan kerusi roda.

"Hotel ini juga menekankan konsep hijau apabila setiap pelanggan hotel yang ingin menginap hanya perlu mendaftar masuk dan keluar dengan mengisi borang secara online, selain resit akan di e-melkan kepada pelanggan.

"Sekiranya mereka mahu terus ke bilik, mereka boleh berbuat demikian dan kakitangan di sini akan berjumpa mereka bagi menyelesaikan segala urusan pendaftaran masuk dan keluar.

"Bagi pelanggan yang ingin membuat tempahan seperti dekorasi bulan madu di bilik mereka, kami akan menyediakannya. Kami juga sedaya upaya akan menyediakan segala permintaan pelanggan demi memastikan keselesaan percutian mereka," katanya.

Aidah memberitahu, Hotel Traders juga memiliki restoran Harbour Cafe yang menawarkan hidangan bufet antarabangsa terdiri daripada sajian dari negara Jepun, China, India, Sepanyol, negara barat serta hidangan tempatan bagi menu sarapan, tengah hari dan makan malam. Antara makanan yang disediakan adalah sushi, mi soba, makanan berasaskan telur, bubur kanji, cakoi, roti canai, pelbagai hidangan mi, pastri dan kek, kuih tempatan serta jus buah segar.

Selain itu, restoran itu juga menyajikan hidangan ala-carte seperti Herb Crusted Lamb Chop, Australian Angus Beef Tenderloin, Mee Kantonis Ying Yang, Nasi Goreng Kampung dan Mi Kari Harbour Cafe.

"Terdapat sebuah lagi restoran berhampiran kolam renang hotel yang diberi nama Skybar yang menawarkan makanan Barat dengan para pengunjung berpeluang menikmati suasana matahari terbenam. Kita juga memiliki kiosk 'On-the-Go' yang menawarkan makanan ringan seperti kek, sandwich dan jus buah," katanya.

Aidah memberitahu, para pengunjung yang menginap di Hotel Traders juga boleh menikmati pemandangan indah sepanjang Tambak Johor dan melihat panorama Jambatan Hubungan Kedua Malaysia-Singapura dengan menaiki bot persiaran yang boleh ditempah mengikut jadual ditetapkan.

Katanya, para pengunjung juga boleh meluangkan masa dengan melakukan aktiviti sukan air seperti berkayak, mengayuh perahu dan memancing di lokasi yang disediakan. "Para pelanggan yang ingin menikmati panorama indah menyusuri Selat Tebrau boleh membuat tempahan bot khas yang dilengkapi dengan bilik khas untuk mereka," katanya.
-utusan online.
http://www.shangri-la.com/johor/traders/

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.