Showing posts with label Visit Perlis Year 2024. Show all posts
Showing posts with label Visit Perlis Year 2024. Show all posts

Tuesday, 8 August 2023

Kerajaan negeri akan wujudkan badan khas berkaitan pelancongan

 


KANGAR: Satu badan khas berkaitan pelancongan di Perlis akan diwujudkan oleh kerajaan negeri bagi melihat segala permasalahan di dalam sektor pelancongan sebagai persediaan bagi sambutan Tahun Melawat Perlis 2024/2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, penubuhan badan itu akan mengambil kira beberapa perkara seperti struktur perjawatan, emolument, pengurusan organisasi dan urus tadbir berkaitan keperluan penubuhan bahagian.

Katanya, berpandukan kepada strategi enam di dalam Pelan Induk Perancangan Fizikal Pelancongan Perlis sememangnya mengandungi cadangan bagi penubuhan Bahagian Pengurusan dan Promosi Pelancongan di negeri ini.

“Cadangan ini adalah bagi menangani punca kepada masalah sektor pelancongan negeri yang kurang berkembang kerana ketiadaan bahagian atau unit khas yang memfokuskan kepada industri pelancongan,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Wan Badariah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Asrul Aimran Abd Jalil (PN-Kayang) berhubung strategi dan perancangan kerajaan negeri bagi menjayakan Tahun Melawat Perlis 2024/2025 dan cadangan mewujudkan Lembaga Pelancongan Negeri.

Pada Mac lalu, Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah dengan memberi saranan agar kerajaan negeri menubuhkan satu unit khas pelancongan atau dikenali sebagai Perlis Tourism Board bagi melonjakkan sektor berkenaan di negeri ini.

Titah baginda, penubuhan unit khas itu dilihat mampu menggerakkan pembangunan sektor pelancongan di Perlis untuk berada pada tahap yang lebih baik.

Dalam pada itu, Wan Badariah berkata, dalam menjayakan Tahun Melawat Perlis 2024/2025, beberapa jawatankuasa telah ditubuhkan bagi memainkan peranan penting untuk melaksanakan fungsi berdasarkan kepada terma rujukan disediakan.

“Bagi memastikan Tahun Melawat Perlis dijayakan, satu calendar of event sedang disediakan dengan pengisian program pelancongan yang akan menarik minat pengunjung untuk datang ke Perlis,” katanya.

-utusan online.

Saturday, 5 August 2023

Pemangku Raja bantu promosi Tahun Melawat Perlis di Los Angeles

 

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika hadir pada majlis mempromosi Tahun Melawat Perlis 2024-2025 di Figueroa Street, Los Angeles, California, kelmarin.

PETALING JAYA: Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan promosi ‘Perlis – The Undeniable Charm’ sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 bersama para pemain industri pelancongan bagi pasaran Los Angeles, Amerika Syarikat semalam.

Seramai 28 orang wakil daripada kalangan agensi pelancongan, syarikat penerbangan, media dan pempengaruh di Los Angeles menghadiri sesi rangkaian industri yang diadakan di Figueroa Street, Los Angeles, California yang dianjurkan oleh Pejabat Tourism Malaysia Los Angeles dengan kerjasama Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles.

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin Putra yang diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu Baginda berdua iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail, yang disambut oleh Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Anil Fahriza Adenan serta Naib Presiden Tourism Malaysia Los Angeles, Akbal Setia selaku tuan rumah.

Pemangku Raja bertitah, baginda sangat menyokong sebarang pelaburan oleh para pelabur yang percaya bahawa eko-pelancongan akan menjadi satu trend pelancongan di masa hadapan.

Akbal dalam taklimat beliau pula memaklumkan bahawa, antara yang menarik perhatian sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 adalah destinasi dan produk ekopelancongan yang ada di negeri tersebut seperti Wang Kelian, Gua Kelam, Bukit Keteri, Tasik Timah Tasoh serta lokasi strategiknya yang berdekatan dengan Langkawi serta Pulau Pinang. Negeri Perlis merupakan destinasi menarik untuk pengembaraan eko dan alam semula jadi.

“Kami sangat teruja untuk mempamerkan tarikan pelancongan yang indah dan unik di negeri Perlis sebagai langkah penting dalam meletakkan negeri ini sebagai destinasi baharu yang mesti dilawati di Malaysia untuk pelancong Amerika Syarikat, terutamanya bagi mereka yang melawat Pulau Pinang dan Pulau Langkawi.

“Perlis merupakan sebuah negeri di Utara Malaysia yang mempunyai bentuk muka bumi yang menarik dan keunikan tersendiri.” jelas beliau.

Tetamu yang hadir pada majlis itu turut dihidangkan dengan masakan istimewa berupa ‘Kurma Daging Perlis’ sempena ‘Promosi Makanan Perlis’ dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis serta beberapa lagi jenis masakan tradisional Malaysia yang lain.

Tourism Malaysia merekodkan lebih tujuh juta kemasukkan pelancong antarabangsa ke Malaysia pada 2022 dan menyasarkan 16.1 juta pula untuk kemasukkan pelancong antarabangsa yang melibatkan jumlah RM49.2 bilion dalam penerimaan industri pelancongan untuk tahun 2023 ini ke Malaysia.

-utusan online.

Thursday, 3 August 2023

Ekspedisi temukan Tribes Spider, cicak Cyrtodactylus zebraicus

 

MOHD. Ridza Awang (empat dari kiri) dan Megat Hashirat Hassan (tiga dari kiri) merasmikan buku Birds of Perlis State Park@ Wang Kelian, Perlis dan A Photographic Guide Book Birds of Perlis State Park sempena penutupan seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Perlis di sebuah hotel di Kangar, Perlis semalam.- UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR

KANGAR: Sekumpulan saintis yang menyertai Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Taman Negeri Perlis merekodkan penemuan menarik iaitu labah-labah daripada spesies ‘tribes spider’ dan cicak ‘Cyrtodactylus zebraicus’ di hutan simpan negeri ini.

Ketua penyelidik ekspedisi berkenaan, Prof. Madya Amirrudin Ahmad, berkata, ekspedisi itu turut menemukan beberapa lagi hidupan hutan yang tidak pernah direkodkan penemuan sebelum ini.

Katanya, spesies labah-labah berwarna gelap yang ditemukan di hutan simpan tersebut dipercayai daripada kumpulan spesies ‘tribes spider’.

“Labah-labah ini dipercayai termasuk dalam kumpulan spesies baharu endemik yang hanya ada di kawasan hutan simpan Perlis dan kita dalam proses memberi nama kepadanya,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup ekspedisi berkenaan di sini semalam.

Seminar tersebut dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Mohd Ridza Awang yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri, Megat Hashirat Hassan dan Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Awang Shaffie Awang Ahmadni.

Tambah Amirrudin yang juga Pengarah Institut Bioversiti Tropika dan Pembangunan Lestari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), ekspedisi berkenaan dijalankan pada 17 hingga 20 Oktober tahun lepas.

Kata pakar Herpetofauna (amfibia dan reptilia) dan iktiofauna (ikan air tawar) itu, selain labah-labah, pasukan penyelidik turut menemukan spesies cicak ‘Cyrtodactylus zebraicus’ yang belum pernah direkodkan penemuannya di hutan semenanjung Malaysia.

“Buat masa ini, spesies cicak tersebut hanya terdapat di Perlis dan kita percaya ia berasal dari Thailand serta tidak pernah direkodkan penemuannya di lokasi lain di negara ini.

“Kita percaya spesies itu masuk ke negara ini melalui Banjaran Nakawan yang bersempadan dengan Thailand dan biasanya ia ditemukan di kawasan hutan separa daun luruh serta tanah pamah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Ridza berkata, JPSM setakat ini telah menganjurkan 42 siri ekspedisi saintifik di seluruh negara dan pencarian itu akan dibentangkan secara saintifik oleh pengkaji mengikut kepakaran masing-masing menerusi seminar.

Jelasnya, kepelbagaian biologi di hutan simpan negeri ini juga mempunyai daya tarikan tersendiri terutama kepada peminat flora dan fauna serta mampu menjadi satu daya tarikan dalam sektor eko-pelancongan.

“Peminat atau pemerhati burung contohnya, akan berkunjung ke sini (Perlis) untuk merasai sendiri pengalaman selepas mendapat tahu terdapat spesies burung yang jarang ditemukan dan diminati wujud di hutan simpan ini.

“Pihak jabatan sentiasa berusaha menganjurkan ekspedisi saintifik bertujuan melakukan dokumentasi kepelbagaian biologi yang terdapat dalam hutan di negara ini,” ujarnya.

-utusan online.

Thursday, 27 July 2023

Empat lagi produk baharu eko-pelancongan semarak Tahun Melawat Perlis

 


PADANG BESAR: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bersama menyemarakkan lagi segmen eko-pelancongan negeri ini apabila menambah empat produk baharu berasaskan alam sekitar di Perlis.

Ketua Pengarahnya, Dr. Ismail Parlan berkata, produk pelancongan berasaskan alam sekitar itu memberi peluang kepada pencinta alam untuk berkunjung ke negeri yang terkenal dengan keunikan alam semula jadi itu.

Katanya, antara produk tersebut adalah seperti Denai Chenderai, Tapak Campervan Jati, Chalet Kesinai selain sebuah bengkel larik yang terletak di Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Mata Ayer.

“Denai Chenderai yang dibuka pada hari ini mempunyai jarak laluan sepanjang 500 meter dan diambil namanya sempena taburan spesies chenderai yang banyak di kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Fasiliti Pelancongan Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Mata Ayer di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Tambah Ismail, Tapak Campervan Jati pula dibuka untuk peminat camper yang ingin menikmati suasana bermalam dalam hutan ladang yang menenangkan.

Katanya, sebanyak enam unit tapak boleh disewa oleh mereka yang memiliki motorhome atau campervan hanya pada harga RM30 semalam yang turut dilengkapi kemudahan bilik air, sumber elektrik dan lain-lain keperluan.

“Selain itu, bagi mereka yang ingin merasai suasana lebih selesa boleh bermalam di dua buah Chalet Kesinai hanya pada harga RM150 semalam yang menyediakan satu katil keluarga dan katil single di setiap bilik.

“FRIM juga turut menawarkan pakej aktiviti memasuki denai dan menaiki titian kanopi sepanjang 100 meter dan berketinggian 80 meter dari aras laut bagi mereka yang bermalam di sini,” katanya.

Selain itu, pengunjung juga boleh melihat sendiri teknologi kayu di Bengkel Larik yang dipenuhi dengan pelbagai jenis mesin pemprosesan kayu berdiameter kecil.

Katanya, komuniti terlibat di dalam projek ini kelak akan dilatih oleh tenaga mahir daripada saintis FRIM sendiri.

“Pusat latihan ini dilihat mampu membantu komuniti setempat untuk menjana sumber pendapatan melalui penjualan produk kraftangan berasaskan jati disamping dapat mewujudkan peluang pekerjaan.

“Pelancaran kesemua fasiliti ekopelancongan di SPF Mata Ayer itu juga bakal menyemarakkan lagi Tahun Melawat Perlis 2024/2025 selain disokong lokasinya yang terletak berdekatan pusat tarikan pelancong di Padang Besar,” katanya.

-utusan online.

Wednesday, 19 July 2023

Tahun Melawat Perlis 2024: Kerajaan negeri, NGO kerjasama tarik kehadiran peminat sukan ekstrim

 


PADANG BESAR: Kerajaan negeri menjalinkan kerjasama erat dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menarik kehadiran penggemar sukan ekstrim ke Perlis dalam menyemarakkan lagi penganjuran Tahun Melawat Perlis (TMP) 2024-2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, terdapat beberapa program telah diatur bersama NGO berkaitan dalam usaha mempromosikan penganjuran TMP 2024-2025 termasuk melibatkan penggemar sukan berkenaan.

Beliau berkata, antara program bakal dianjurkan dalam masa terdekat ialah The North Wall 2.0 di Bukit Keteri, Chuping yang diuruskan oleh sebuah NGO pada bulan hadapan.

“Seperti semua sedia maklum, terdapat ramai peminat sukan ekstrim khususnya dalam kalangan anak muda di negara ini.

“Jadi ini antara usaha yang kita laksanakan bagi mempromosikan TMP 2024-2025 dalam menarik pengunjung luar untuk datang ke Perlis pada tahun hadapan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Untuk rekod, seramai 2.99 juta pelancong telah berkunjung ke Perlis pada tahun 2022 dan jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Mengulas mengenai persediaan TMP 2024-2025, Wan Badariah berkata, segala perancangan telah diatur sebaiknya oleh kerajaan negeri dan antaranya dengan mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan termasuk menambah baik beberapa infrastruktur yang dikenal pasti.

“Malah promosi juga telah bermula antaranya dengan pemasangan papan iklan di beberapa lokasi sekitar Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

“Cuma buat masa sekarang, kita masih dalam proses bagi memuktamadkan pemilihan maskot dan lagu rasmi TMP 2024-2025 sebelum melaksanakan majlis pra pelancaran tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Badariah berkata, kerajaan negeri turut mengalu-alukan kehadiran mana-mana pelabur yang ingin membuka hotel atau penginapan di Perlis sebagai persediaan penganjuran TMP 2024-2025 nanti.

Katanya, langkah itu juga adalah bagi menambah dan melengkapkan lagi penginapan di negeri ini khususnya buat pengunjung luar.

“Jika ada pelabur yang berhasrat membuka hotel di sekitar kawasan sempadan juga kita alu-alukan bagi memudahkan pelancong negara jiran ke Perlis,” katanya.

Tambahnya, Perlis sememangnya mempunyai kekuatan dengan keindahan alam semula jadi seperti sawah padi, sungai dan bukit-bukau yang menyajikan pemandangan indah buat pelancong.

“Orang ramai kena ambil peluang untuk melawat Perlis sempena TMP 2024-2025 ini bagi merasai sendiri keunikan negeri ini yang sememangnya berbeza dengan negeri-negeri lain,” katanya.

-utusan online.

Sunday, 9 July 2023

Cadang beruk kentoi maskot Tahun Melawat Perlis 2024

 


KANGAR: Beruk kentoi atau nama saintifiknya macaca arctoides yang hanya ditemukan di negeri ini wajar disaran menjadi maskot Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penyelidik beruk kentoi yang juga pengasas Perlis Nature & Wildlife, Syamil Abd. Rahman berkata, Perlis yang sememangnya menjadikan keindahan alam serta kekayaan biodiversitinya sebagai produk pelancongan dan pemilihan beruk kentoi sebagai maskot dilihat bertepatan dengan kempen promosi Tahun Melawat Perlis.

Menurut beliau, penduduk di negeri ini wajar berbangga kerana spesies ikonik itu jarang ditemukan di tempat lain dan semua pihak perlu mempunyai kesedaran menjaga kelestrian habitat hidupan liar secara bersama untuk memastikan spesies ini tidak pupus bagi tatapan generasi seterusnya.

“Ketika kempen Tahun Melawat Malaysia mula dilancarkan pada tahun 1990, orang utan bernama ‘Wira’ dijadikan maskot manakala bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 monyet Belanda terpilih sebagai maskot.

“Kedua-dua spesies primat tersebut dipilih mewakili keunikan flora dan fauna yang terdapat di bumi Malaysia untuk dikenali seluruh dunia. Begitu juga dengan pemilihan beruk kentoi sebagai maskot dan ia dilihat bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Perlis,” katanya.

Sebagai rekod, Syamil telah menerbitkan kertas saintifik bancian populasi beruk kentoi di Wang Kelian pada tahun 2019 bersama penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dianggarkan terdapat 176 ekor beruk kentoi menghuni Taman Negeri Perlis manakala anggaran 350 ekor selebihnya di sepanjang Banjaran Nakawan.

Hasil penyelidikan Syamil terhadap beruk kentoi sejak tahun 2017 itu juga membawa dia merentas sempadan negeri sehingga ke Thale Ban National Park, Thailand untuk memahami lebih lanjut mengenai sebaran habitat beruk Wang Kelian.

Menariknya, beruk kentoi disahkan tidak ditemukan di negara jiran itu meskipun berkongsi sempadan geografi.

Tambah Syamil, beruk kentoi hanya dapat ditemukan dengan populasi yang banyak di Wang Kelian sekali gus menjadikan spesies primat berkenaan endemik dan tidak ditemui di mana-mana tempat lain.

Katanya, kentoi mula disahkan penemuannya pada tahun 1992 oleh penyelidik WWF dan sejak itu ia tidak diberi kajian khusus selama hampir 27 tahun namun populasinya dilihat stabil kerana tidak berlaku fragmentasi habitat secara berleluasa.

“Beruk kentoi mempunyai ciri-ciri unik dan tersendiri dengan wajah berwarna merah, berbulu tebal serta banyak menghabiskan masa di atas tanah untuk sering dilihat berkeliaran mencari makanan di kawasan tumpuan pelancong, Wang Kelian View Point,” katanya.

-utusan online.

Saturday, 6 May 2023

Pihak swasta dialukan bangunkan hotel di Perlis, tampung kehadiran pelancong

 

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan promosi masakan Perlis di D’Hatyai Café & Restaurant, Sriphunadnai 1, Daerah Hat Yai , Songkhla, Thailand baru-baru ini.-UTUSAN

KANGAR: Pihak swasta dialu-alukan membangunkan hotel-hotel baharu di negeri ini memandangkan hotel termasuk inap desa sedia ada masih tidak mencukupi menampung kedatangan pelancong.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pembangunan hotel berkenaan dilihat menjadi keperluan berdasarkan perkembangan sektor pelancongan semasa di Perlis ketika ini.

Justeru titah baginda, para pemain industri pelancongan juga perlu mengambil peluang berkenaan bagi memperkasakan lagi sektor tersebut di Perlis.

“Berdasarkan perkembangan sektor pelancongan semasa di negeri Perlis, beta menyambut baik dan amat mengalu-alukan penglibatan sektor swasta untuk tampil bagi membangunkan hotel-hotel baharu di negeri ini.

“Hal demikian kerana memandangkan hotel atau inap desa sedia ada di Perlis masih tidak mencukupi terutamanya pada cuti umum,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat melancarkan promosi masakan Perlis di D’Hatyai Café & Restaurant, Sriphunadnai 1, Hat Yai , Songkhla, Thailand baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh pemilik restoran berkenaan, Samueli Doloh.

Hadir sama, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Muhammad Ridzuan Abu Yazid.

Sebelum ini, Tuanku Syed Faizuddin juga pernah melancarkan inisiatif yang sama bagi mempromosikan nama negeri Perlis melalui makanan di beberapa buah restoran lain di dalam wilayah Songkhla seperti Sami Kitchen, Restoran Halal Kai Tod Decha, Khlong Hae Buffet Seafood dan Restoran Hamid.

Pada kali ini, kurma daging Perlis sekali lagi diperkenalkan sebagai juadah pilihan utama dalam program kolaborasi antara restoran berkenaan dengan Restoran Shamiza Mohd Noor dari kilometer tiga Jalan Guar Nangka Perlis dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Sementara itu, baginda bertitah, lokasi-lokasi pelancongan baharu yang dirancang untuk dibangunkan oleh pihak swasta diharapkan akan terus menunjukkan kemajuan dan dapat beroperasi dalam masa terdekat.

“Contohnya, Pavillion Padang Besar, Pembangunan Motel, Pusat Makanan Laut dan Rekreasi di Persisir Pantai Bukit Batu Putih, Kompleks Kemudahan Pelancongan Kuala Perlis, Projek Perlis Base Camp Gua Kelam dan sebagainya.

“Jika benar-benar berjaya direalisasikan seperti yang dihasratkan sesungguhnya diharap akan mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini kelak,” titah baginda.

-utusan online.

Friday, 24 March 2023

Rakyat diseru semarakkan Tahun Melawat Perlis 2024

 

MOHD. Shukri Ramli bersama pegawai kanan pentadbiran dan pemain industri pelancongan Perlis selepas merasmikan pra-pelancaran Tahun Melawat Perlis 2024 di Kompleks Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR

KANGAR: Kerajaan negeri menyeru masyarakat setempat bersama-sama menyemarakkan lagi sektor pelancongan negeri melalui konsep pelancongan berasaskan komuniti (CBT) yang memberi manfaat dan janaan ekonomi secara langsung kepada yang terlibat.


Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri dalam rangka tindakan untuk menganjurkan Tahun Melawat Perlis (TMP) 2024 berlandaskan kepada Tahun Melawat Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).


“Matlamat utama TMP 2024 dan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 adalah untuk menarik pelancong menerokai pengalaman melancong di negeri Perlis.


“Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan dan menggalakkan semua pihak untuk mengadakan aktiviti-aktiviti atau program dalam menarik lebih ramai pengunjung ke Perlis,” katanya ketika merasmikan masjlis pra-pelancaran Tahun Melawat Perlis 2024 di Dewan Banquet, Kompleks Setiausaha Kerajaan di sini hari ini.


Tambah Mohd. Shukri, untuk rekod, seramai 2.99 juta pelancong telah berkunjung ke Perlis pada tahun 2022.


“Jumlah ini meningkat dari tahun sebelumnya dan dilihat positif khususnya sewaktu era pasca pandemik Covid-19 dan kedatangan pelancong telah memberikan limpahan ekonomi secara terus kepada pemain industri sektor pelancongan yang mempunyai rantaian ekonomi dan jaringan yang luas.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha-usaha ke arah mempertingkatkan prestasi industri pelancongan di peringkat negeri Perlis dan ketersediaan produk pelancongan yang berkualiti serta persekitaran bersih mampu menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke negeri kita ini,” katanya.

-utusan online.