KUALA LUMPUR: TransNusa, syarikat penerbangan Indonesia
memperluaskan kehadirannya di Malaysia dengan penerbangan sulung dari Jakarta
ke Pulau Pinang bermula 24 November ini.
Langkah strategik itu menandakan fasa penting dalam rancangan
pengembangan TransNusa di negara ini, selepas kejayaan operasi hariannya ke
Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) Terminal 1 dan menjadi syarikat
penerbangan antarabangsa pertama yang beroperasi ke Subang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TransNusa, Datuk Bernard Francis,
berkata pihaknya memilih Pulau Pinang memandangkan negeri itu bukan sekadar
destinasi pelancongan, tetapi hab penerbangan utama di Semenanjung.
Beliau berkata, berbanding KLIA yang semakin sesak, Pulau Pinang
menawarkan kemudahan, kapasiti dan sambungan antarabangsa yang amat menarik.
Menurutnya, penerbangan bagi laluan Jakarta-Pulau Pinang itu akan
berlepas dari Jakarta pada jam 5.30 pagi dan tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 9 pagi, sebelum berlepas semula ke Jakarta
pada jam 9.30 pagi.
"Pulau Pinang sememangnya pilihan yang lebih baik sebagai hab
alternatif di Semenanjung memandangkan negeri itu mempunyai banyak penerbangan
terutamanya ke China, dan juga ke India dan Asia Tenggara.
"Kami telah menjenamakan diri sebagai syarikat penerbangan
perkhidmatan premium. Justeru, fokus kami betul-betul terbang dari lapangan
terbang utama ke lapangan terbang utama," katanya pada sidang media secara
dalam talian hari ini.
Selain melihat Pulau Pinang sebagai alternatif berpotensi tinggi
kepada KLIA, Bernard berkata, laluan Indonesia-Pulau Pinang juga adalah
destinasi dan laluan utama dengan pada tahun ini saja mencatatkan kira-kira
285,000 penumpang.
Di samping menjadi tarikan pelancongan gastronomi, termasuk semakin
ramai pelancong Indonesia menggemari nasi kandar, beliau berkata, Pulau Pinang
juga terus unggul sebagai destinasi utama pelancongan perubatan dari Indonesia.
"Selama lebih 25 tahun, Pulau Pinang telah membina reputasi
sebagai destinasi perubatan terbaik di rantau ini. Infrastruktur, hospital dan
ejen pelancongan di sini sudah pun lengkap menyokong industri ini,"
katanya.
Dengan kapasiti pesawat 174 tempat duduk, TransNusa menyasarkan
kadar muatan 75 peratus hingga 80 peratus dalam tempoh enam bulan pertama
operasi, didorong oleh permintaan tinggi bagi laluan Jakarta-Pulau Pinang.
Dalam perkembangan lain, Bernard berkata, TransNusa tidak bercadang
untuk beroperasi di lapangan terbang sekunder di negara ini buat masa ini,
memandangkan ekosistem sedia ada belum cukup kondusif untuk membina perniagaan
jangka panjang.
"Secara jujur, selain KLIA dan Pulau Pinang, kami tidak
mendapat sokongan yang cukup untuk mengekalkan operasi jangka panjang,"
katanya.
Beliau menjelaskan, keadaan itu bertambah sukar apabila syarikat
penerbangan tempatan segera bertindak melancarkan laluan dan menurunkan tambang
setiap kali syarikat asing membuka operasi baharu.
"Apabila mana-mana syarikat penerbangan antarabangsa masuk ke
pasaran, syarikat tempatan cepat-cepat buka laluan sama dan turunkan
tambang," katanya.
Bernard berkata, mempunyai program insentif yang jelas dan
berstruktur, justeru pihaknya tahu bentuk ganjaran berdasarkan prestasi.
"Lapangan terbang lain perlu mempunyai program insentif yang
jelas selama dua atau tiga tahun untuk menyokong syarikat penerbangan,"
katanya.
-berita harian online.