Showing posts with label Houseboat. Show all posts
Showing posts with label Houseboat. Show all posts

Tuesday, 25 March 2025

Harga lesen rumah bot di Tasik Kenyir naik daripada RM150 kepada RM1,000

 


KUALA TERENGGANU: Harga lesen tahunan rumah bot di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bakal dinaikkan daripada RM150 kepada RM1,000 setahun mulai tahun ini. 

Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Abdul Aziz Abdul Rahim, berkata surat makluman mengenai harga baharu lesen tahunan itu dikeluarkan Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) pada 19 Mac lalu. 

Beliau berkata, kenaikan itu terlalu tinggi dan membebankan walaupun Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir dan pengusaha rumah bot bersetuju harga lesen dinaikkan. 

"Sebahagian pengusaha rumah bot mendakwa pendapatan diperoleh tidak tinggi terutama di luar musim cuti persekolahan dan cuti umum.

"Pada masa sama, kos operasi rumah bot juga semakin tinggi termasuk baik pulih selain kemudahan asas di kawasan Tasik Kenyir juga tidak dinaik taraf untuk keselesaan pelancong. 

"Jadi, kami ingin mengadakan perbincangan dengan LAUT selepas Aidilfitri ini sebelum kenaikan harga lesen tahunan baharu itu dikuatkuasakan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Setakat ini, 87 rumah bot berdaftar di Tasik Kenyir.

-berita harian online.

Saturday, 16 December 2023

Tourism Malaysia Lancar Pakej Minat Khas Houseboat 2023/2024

 


PUTRAJAYA, 15 Disember 2023 - Tourism Malaysia telah melancarkan pakej minat khas ‘Houseboat 2023/2024’ bagi mempelbagaikan penawaran produk minat khas di pasaran.


Sebanyak 11 pakej pelancongan houseboat ditawarkan oleh enam (6) agensi pelancongan untuk tempoh perjalanan dari 1 Disember 2023 sehingga 30 Jun 2024 melibatkan lokasi houseboat yang popular iaitu di Royal Belum, Perak dan Tasik Kenyir di Terengganu.


Pakej-pakej ini menawarkan kepelbagaian pengalaman percutian melalui aktivitiaktiviti seperti berkayak, berakit, memancing, memanah, menjejak Rafflesia, merentas hutan, memasak kuih tradisional, bermain paintball dan banyak lagi. Pakej-pakej ini boleh mula ditempah mulai sekarang dengan tempoh sah perjalanan adalah sehingga 30 Jun 2024.


Promosi pakej minat khas houseboat ini mengambil kira kesediaan produk yang terdapat di Royal Belum di Perak dan Tasik Kenyir di Terengganu. Untuk rekod, jumlah houseboat yang berdaftar di Royal Belum adalah sebanyak 41 buah houseboat dengan penawaran sebanyak 615 katil sehari manakala di Tasik Kenyir mempunyai 86 buah houseboat dengan penawaran sebanyak 1,290 katil sehari.


Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, segmen houseboat dilihat sebagai satu alternatif percutian berkumpulan kepada orang ramai. Promosi pakej sebegini memberi peluang untuk orang ramai mengambil kesempatan untuk bercuti sekeluarga ataupun bersama kawan-kawan sempena cuti sekolah dan cuti hujung tahun. Ia juga dapat membantu menjana aktiviti ekonomi masyarakat setempat secara tidak langsung.


Enam (6) agensi pelancongan yang turut menjayakan kempen pelancongan minat khas houseboat ini adalah Al Fateh Travel Sdn Bhd, Ad-Deeni Travel & Tours Sdn Bhd, Mona Holidays Sdn Bhd, Al-Maziah Travel Sdn Bhd, MLS Holidays Sdn Bhd dan Ping Anchorage Travel & Tours Sdn Bhd.


Maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh diperoleh menerusi laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel.

-Tourism Malaysia.