 |
| image: Tourism Malaysia |
KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk muncul sebagai hab
pelancongan serantau melalui penganjuran Global Travel Meet 2025 yang dilihat
sebagai platform penting memperkukuh sektor pelancongan, perdagangan dan
pertukaran budaya di rantau ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus
Akbar Khan berkata, acara yang berlangsung selepas hampir dua dekad selepas
kali terakhir diadakan pada 2007 itu bukan sekadar sesi dialog, sebaliknya
menjadi medan strategik untuk membentuk hala tuju baharu pelancongan negara.
"Acara ini diharap dapat melahirkan idea baharu, mengukuhkan
kerjasama sedia ada dan membuka ruang perkongsian strategik bagi membangunkan
perniagaan, memperkasa komuniti serta mewujudkan pengalaman bermakna kepada
pelancong di seluruh dunia.
"Penganjuran edisi kali ini cukup istimewa apabila
menghimpunkan lebih 600 pembeli, 400 penjual dan 100 wakil media antarabangsa
di bawah satu bumbung," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di program Global Travel Meet
2025, di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari
ini.
Program berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini
sehingga 3 Oktober.
Tambah Khairul Firdaus, acara ini turut mendapat sokongan strategik
daripada Malaysian Inbound Chinese Association (MICA) dan Malaysian Indian Tour
& Travel Association (MITTA), selain kerjasama rapat syarikat penerbangan
negara iaitu Malaysia Airlines, Batik Air dan AirAsia.
Katanya, pencapaian pelancongan negara juga membanggakan apabila
Malaysia merekodkan 38 juta pelancong antarabangsa pada 2024 iaitu meningkat
sebanyak 31 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Tambah beliau, bagi tahun ini sahaja antara Januari hingga Julai,
sebanyak 24.5 juta pelancong direkodkan dengan pasaran utama termasuk
Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan,
Australia dan Taiwan.
Pada masa sama, beliau turut menyeru semua pemain industri yang
hadir agar memanfaatkan sepenuhnya Global Travel Meet 2025 dengan menjalin
kerjasama baharu, bertukar pandangan dan mencetuskan inovasi untuk kejayaan
bersama.
"Semoga acara ini menjadi pemangkin bukan sahaja kepada
kejayaan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, tetapi juga untuk membina komuniti
global yang lebih terangkum dan saling terhubung.
"GTM 2025 dijangka menjadi platform penting memacu kerjasama
antarabangsa sekali gus mengangkat Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan
dunia," katanya.
-berita harian online.