KUALA LUMPUR, 31 Oktober 2026 – Ketua Pengarah Tourism Malaysia,
Encik Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, telah menghadiri Majlis Perasmian Festival
Permainan Malaysia (FPM) 2026 yang berlangsung di Padang Merbok, Kuala Lumpur,
hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism
Malaysia, Encik Wizani bin Rosmin.
Festival yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan
Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), dengan
kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Sukan Tradisional
Malaysia (SUTRA), berlangsung dari 29 Oktober hingga 1 November 2026.
Menghimpunkan seramai 3,012 peserta, FPM 2026 menampilkan pelbagai
permainan tradisional yang menjadi sebahagian daripada warisan budaya Malaysia,
antaranya Congkak, Galah Panjang, Sepak Raga Ratus, Terompah Gergasi dan banyak
lagi.
Turut memeriahkan festival ini ialah reruai Tourism Malaysia yang
memaparkan pelbagai produk dan destinasi pelancongan menarik di Malaysia untuk
tatapan pengunjung. Pengunjung juga berpeluang mendapatkan cenderamata percuma
yang disediakan.
Festival ini bukan sahaja menghidupkan kembali permainan tradisional
yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Malaysia, malah turut
membuka peluang kepada generasi muda dan pengunjung untuk mengenali serta
merasai sendiri keunikan warisan budaya negara.
Penganjuran festival seperti ini turut menyumbang kepada usaha
mempromosikan pelancongan berasaskan budaya, sekali gus memperkenalkan Malaysia
sebagai destinasi yang kaya dengan warisan, tradisi dan pengalaman unik.
-Tourism Malaysia.
































