SEREMBAN
– Cuti sekolah serta sambutan Tahun Baharu 2026 menyaksikan beberapa lokasi
rekreasi dan pelancongan di Negeri Sembilan menjadi tumpuan pengunjung.
Tinjauan
mendapati, pengunjung meluangkan masa bersama keluarga selain menikmati
tarikan berkonsepkan hiburan dan rekreasi dalaman yang sesuai untuk semua
peringkat umur.
Bagi seorang operator Khairi Miswan, 44, dari Seremban 2,
percutian ringkas bersama anak dimanfaatkan sepenuhnya sempena cuti sekolah
dan sambutan tahun baharu.
“Ini kali pertama kami datang ke SnowLim Wonderland. Suasananya
menarik dan berbeza, sesuai untuk bawa anak berjalan-jalan ketika cuti
sekolah,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Seorang guru, Saadatul Akmar Mohamad Saad, 43, berkata, kunjungan
bersama 10 ahli keluarga memberi pengalaman bermakna kepada keluarganya.
“Kami datang dari Ampang dan abang dari Pulau Pinang turut hadir
habiskan masa cuti di lokasi tumpuan di Negeri Sembilan. Seperti lokasi
pertama kami kunjungi ini iaitu di SnowLim Wonderland tempatnya sangat sejuk
dan menarik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohammad Hafiz Misbun, 38, dari Kuala Lumpur
berkata, kunjungan ke Lorong Seni di Pusat Bandar Seremban memberi
pengalaman berbeza kepada keluarganya.
“Pelbagai seni kreatif dapat dilihat dan ditonjolkan di sini, di
samping pelbagai jualan peniaga kecil dapat diperoleh, khususnya di kawasan
Benteng Walk dan Sungai Ujong Walk.
“Tambahan pula Lorong Seni Pusat Bandar Seremban juga telah
diiktiraf sebagai Lorong Seni Terpanjang di Malaysia oleh Malaysia Book of
Records, jadi memberi keterujaan kepada kami sekeluarga melalui sepanjang
lorong seni ini sambil menikmati suasana malam,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kebudayaan dan
Kesenian negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, suasana meriah di lokasi tumpuan
sepanjang cuti sekolah dan sambutan tahun baharu mencerminkan peningkatan
aktiviti pelancongan domestik negeri.
“Setiap daerah di Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri.
Kehadiran pengunjung dan pelancong luar negeri memberi petanda positif kepada
sektor pelancongan, khususnya menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026,”
katanya.
-Kosmo! Online.