KUALA
LUMPUR, 02 OKTOBER 2026 -Majlis
Perasmian Kuala Lumpur Tower International BASE Jump 2026 telah berlangsung
dengan jayanya di Visit Malaysia Square, Menara Kuala Lumpur. Majlis perasmian
telah disempurnakan oleh YBrs. Puan
Zuraini Abdul Ghani, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej, sekali gus menandakan
komitmen berterusan dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi
pelancongan sukan dan acara bertaraf antarabangsa.
Majlis
turut dihadiri oleh barisan tetamu kenamaan dan pemegang taruh industri,
antaranya YBhg. Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng, Pengerusi LSH Capital
Berhad; YBrs. Encik Khairul Faizal Hj. Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Menara
Kuala Lumpur; YBrs. Encik Mohd. Idros bin Mohd. Yusop, Pengarah Acara BASE
Malaya Venture; YBrs. Encik Christopher Wong, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia
Book of Records; serta YBrs. Encik Azrul Ekhwan bin Eliah, Pengarah Perhutanan
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kuala
Lumpur Tower International BASE Jump merupakan acara tahunan berprestij yang
menghimpunkan atlet-atlet sukan ekstrem dari seluruh pelusuk dunia dalam
kategori BASE jumping, iaitu aktiviti terjunan berpayung dari struktur tinggi.
Acara ini terkenal sebagai antara platform sukan ekstrem paling ikonik di
rantau ini, dengan Menara Kuala Lumpur menjadi lokasi utama yang menawarkan
pengalaman terjunan yang mencabar serta pemandangan bandar raya yang unik.
Bagi
edisi 2026, acara ini berjaya menarik penyertaan seramai 221 penerjun
profesional dari 38 buah negara, termasuk Amerika Syarikat, Australia, Brazil,
Portugal, United Kingdom, Kanada, Bulgaria, China, Perancis, Jepun dan
Singapura. Malaysia turut melakar kehadiran membanggakan menerusi penyertaan
enam orang penerjun tempatan, yang bersama-sama mempamerkan keupayaan dan
semangat dalam sukan ekstrem bertaraf dunia.
Penganjuran
Kuala Lumpur Tower International BASE Jump 2026 merupakan salah satu inisiatif
strategik BASE Malaya Venture dalam menyokong agenda Kementerian Pelancongan,
Seni dan Budaya (MOTAC) bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026–2027
(VM2026–2027). Acara ini dilihat berupaya memperkukuh lagi segmen pelancongan
sukan negara melalui penganjuran program berimpak tinggi yang mampu menarik
perhatian komuniti antarabangsa.
Selain
menjadi platform pertandingan sukan ekstrem, acara ini turut berperanan sebagai
medium promosi yang efektif dalam memperkenalkan Kuala Lumpur dan Malaysia
kepada komuniti sukan pengembaraan global. Kehadiran peserta dari pelbagai
negara bukan sahaja meningkatkan keterlihatan Malaysia di peringkat
antarabangsa, malah turut menyumbang kepada usaha memperkukuh imej negara
sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pengalaman sukan, rekreasi dan
pengembaraan bertaraf dunia.
Secara
keseluruhannya, Kuala Lumpur Tower International BASE Jump 2026 berjaya
mencapai objektif penganjurannya sebagai acara sukan ekstrem bertaraf
antarabangsa yang bukan sahaja mempromosikan industri pelancongan negara, malah
mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran acara
global menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026–2027.
-Tourism Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.