IPOH: Dalam usaha menggalakkan lagi
perbelanjaan para pelancong yang datang ke Perak, sebanyak 3,920 keping baucar
pelancongan #PromisingPerak ditawarkan sempena Tahun Melawat Perak 2024.
Baucar
itu melibatkan 65 pemain industri pelancongan dalam Perak seperti agensi
pelancongan dan pengembaraan, pengusaha produk pelancongan serta pengusaha
hotel.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan
Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, mengikut pecahan, terdapat tiga jenis
baucar bernilai sekeping RM30 produk pelancongan, RM70 penginapan dan RM150
pakej pelancongan.
“Pendekatan oleh Tourism Perak ini
adalah berhasrat untuk menggalakkan lagi lebih ramai pelancong berkunjung ke
Perak,” katanya kepada pemberita semasa majlis pelancaran baucar tersebut di
sini hari ini.
Katanya, insentif seumpama itu
pernah dilaksanakan pada tahun 2020 untuk memberi sokongan kepada pemain
industri yang menerima kesan akibat wabak Covid-19.
Tambah beliau, inisiatif terbaharu
itu akan bermula pada 1 Februari 2024 hingga 31 Januari 2025.
Menurut Tourism Perak Management
Berhad, pelaksanaan bantuan khas baucar pelancongan itu secara tidak langsung
dapat memberikan peluang baharu kepada pemain industri untuk meningkatkan
pendapatan selain turut mempromosikan produk ke pasaran domestik dan antarbangsa.
“Inisiatif ini juga merupakan
galakan kepada pelancong untuk datang ke negeri Perak dan menyumbang kepada
peningkatan statistik kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2024,”
menurut Tourism Perak.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.