Wednesday, 3 January 2024

Sasar 10 juta pelancong sempena Tahun Melawat Kelantan 2024

 

KAMARUDIN Md. Nor (kiri) ketika mengadakan lawatan ke tapak Warisan Ulama Nusantara Pasir Tumboh, Kelantan. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI


KOTA BHARU: Kerajaan Negeri optimis mampu mencapai sasaran 10 juta pelancong berkunjung ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK2024).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor, berkata, jumlah itu mampu dicapai menerusi lebih pelbagai program yang sudah dirancang dan disusun sepanjang tahun ini.

“Kita boleh membuat pelbagai angka (sasaran), namun yang lebih realistik adalah 10 juta pengunjung termasuk domestik dan luar negara.

“Sekiranya tiada halangan seperti wabak penyakit atau perkara-perkara lain yang boleh membantut industri pelancongan negeri jumlah itu akan kita capai,”katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak Warisan Ulama Nusantara Pasir Tumboh di sini hari ini.

Kamarudin memberitahu, pada masa sama Kerajaan Kelantan sedang merangka pertemuan dengan pemain industri pelancongan bagi melihat perancangan untuk jangka masa panjang.

Katanya, kajian lebih mendalam perlu dilakukan termasuk melihat kepada faktor setempat seperti sektor pelancongan di Thailand yang kini semakin mendapat sambutan.

“Sebagai contoh di Thailand, pihak yang terlibat dalam sektor pelancongan di sana seperti hotel, restoran serta tempat pelancongan mengambil pendekatan jangka panjang dan tidak mengambil keuntungan segera.

“Hal ini bagus untuk industri pelancongan dalam jangka masa panjang dan untuk itu kita perlu membuat kajian yang lebih teliti berkaitan perkara tersebut,” ujarnya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.