PORT DICKSON: Kira-kira 700 kaki pancing
dijangka berkampung di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson, Negeri Sembilan pada
17 Februari nanti bagi menyahut cabaran pada pertandingan Santai Pancing Port
Dickson 2024 yang memasuki tahun ke-5 tahun ini.
Acara yang dianjurkan Majlis
Perbandaran Port Dickson (MPPD) ini menawarkan hadiah wang tunai RM12,000
sebagai hadiah utama.
Yang Dipertua MPPD, Nurhazelin
Makli menjelaskan acara ini bukan sahaja menyediakan medan buat kaki pancing
bersaing sesama sendiri tetapi turut memainkan peranan mempromosikan keindahan
pantai-pantai yang terdapat di sekitar Port Dickson.
“Juara bakal membawa pulang hadiah
wang tunai berjumlah RM12,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masingnya
menerima RM3,000 dan RM1,000,” kata Nurhazelin dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, hadiah wang tunai juga
disediakan kepada para pemenang sehingga tempat ke-100 dan ia berkonsep sapu
bersih.
“Kaunter pendaftaran akan mula
dibuka pada hari Jumaat (16 Februari 2024) bermula pukul 3 petang hingga 9
malam,” katanya.
Khemah urus setia akan dibuka di
lokasi pertandingan bagi memudahkan para peserta membuat mendaftaran dan yuran
penyertaan adalah RM70 untuk setiap joran.
“Pelbagai spesies ikan antaranya
daun baru, bayan dan tetanda terdapat di pantai ini, jadi semua peserta
berpeluang untuk bergelar juara,” kata Nurhazelin.
“Port Dickson juga kaya dengan
pelbagai spesies ikan gred A seperti ebek, bawal pinang, daun baru, gerong
belang dan lain-lain.”
Mengulas lanjut, Nurhazelin
menjelaskan bahawa 500 peserta yang mendaftar awal akan menerima baju-T
daripada pihak penganjur manakala peserta bertuah pula berpeluang membawa
pulang hadiah bonanza berupa dua buah televisyen bersaiz 32 dan 42 inci.
“Pantai Cahaya Negeri yang sinonim
sebagai lokasi memancing diharap dapat menarik para pelancong domestik di
samping membantu ekonomi penduduk tempatan,” ujarnya.
Katanya, Port Dickson dikenali
sebagai “Bandar Pelancongan” yang mempunyai 10 pantai dan pelbagai tempat
menarik sebagai tumpuan utama pelancong dalam dan luar negara seperti Muzium
Tentera Darat, Muzium Kota Lukut, Rumah Api Tanjung Tuan selain terkenal dengan
hotel-hotel bertaraf antarabangsa.
Ayuh kaki pancing jom bawa keluarga
bercuti di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson.
Ketika berlangsungnya pertandingan
itu nanti, ahli keluarga peserta juga boleh meneroka flora dan fauna di pulau
burung yang terdapat di lokasi pertandingan berkenaan.
“Saya menyeru agar para peserta
nanti bertanding secara sihat, menang atau kalah adat bertanding dan paling
penting adalah bercuti bersama keluarga dalam program Santai Pancing Port
Dickson yang merupakan program pertama bagi tahun 2024,” jelasnya.
Port Dickson mempunyai banyak
tempat menarik yang perlu dinikmati oleh orang ramai antaranya Ekopelancongan
seperti PD Forest Sungai Menyala, Hutan Lipur Pasir Panjang, Muzium Lukut dan
Kota Lukut, Muzium Tentera Darat dan Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas.
Begitu juga Sky Ladder Pineapple
Farm, Pd Ostrich Farm dan Rumah Terbalik Port Dickson turut menjadi tumpuan
para pengunjung.
Orang ramai yang ingin mendapatkan
maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh menghubungi pihak urus setia di
talian 013-2667011, 017-6805934, 012-3554946 atau 012-2846811.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.