Friday 19 January 2024

Agong rasmi monumen Ikonik Temerloh Titik Tengah Semenanjung

 

AL-SULTAN Abdullah Ri`ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meninjau monumen ikonik Temerloh Titik Tengah Semenanjung (TTTS) di Kampung Paya Siput, Lanchang di Temerloh, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF


TEMERLOH: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri`ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan monumen ikonik Temerloh Titik Tengah Semenanjung ( TTTS) di Kampung Paya Siput, Lanchang di sini.

Keberangkatan Seri Paduka ke TTTS secara tidak langsung mengangkat destinasi istimewa ini sebagai produk pelancongan yang wajib dikunjungi pelancong tempatan dan asing.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Zulkifli Yaakob berkata, projek TTTS atau lokasi sifar darjah di Kampung Paya Siput dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Menurutnya, pembangunan monumen ikonik itu mula dilaksanakan pada 2018, siap pada 22 Ogos 2019 dan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) pada Disember 2019.

“Pembinaan itu membabitkan projek monumen ikonik TTTS, monumen Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), plaza komersial dan lain-lain yang sudah pun dibuka kepada awam pada 15 Julai 2020,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian TTTS di Kampung Paya Siput di sini hari ini.

Monumen ikonik TTTS merupakan lokasi pelancongan bertaraf dunia kerana ia merupakan satu-satunya yang wujud di negara ini.

Zulkifli berkata, TTTS dikenalpasti sebagai salah satu projek strategik ECER di kawasan seluas 1.62 hektar merangkumi projek Tasik Mini dan Taman Monumen Awam.

Menurutnya, Jupem sudah membina sebuah monumen di koordinat Latitud 03 29 37 dan Longitud 102 13 12 di Lot 1869 Kampung Paya Siput Lanchang berfungsi sebagai titik kawalan koordinat ukur untuk seluruh Semenanjung Malaysia.

Tambah beliau, pelawat boleh melihat pancang yang dibina condong menunjukkan ke arah kiblat, enam pancang berwarna emas di lilitan luar melambangkan enam Rukun Iman.

“Lima pancang berwarna kelabu gelap di lilitan dalam melambangkan lima Rukun Negara dan tapak monumen ikonik menunjukkan arah kiblat dan jarak ibu negeri bagi negeri negeri di Malaysia dari Titik Tengah Semenanjung,” katanya.

Menurutnya, TTTS disediakan taman awam dengan monumen ikonik ini menawarkan pengalaman menarik yang menggabungkan tarikan baharu pakej pelancongan di Lanchang melalui jejak pelancongan.

“Ini kerana TTTS berdekatan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Taman Deerland, Rezab Hidupan Liar Krau dan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal, Bandar Temerloh (ikan patin) serta pekan Sehari Terpanjang di Malaysia,” katanya.

Jelasnya, TTTS dibangunkan menggunakan konsep hentian sebelah yang menggunakan plaza komersial, tandas, wakaf, surau, tempat persinggahan bas pelancong, kawasan rekreasi dan taman permainan kanak-kanak.

“TTTS turut menjadi sebahagian destinasi laluan berbasikal dan bermotor dan memainkan peranan sebagai pusat maklumat pelancongan,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.