Friday 5 January 2024

Seabourn Encore berlabuh di Melaka, bawa 560 pelancong

 

ABDUL RAZAK Abdul Rahman menyambut ketibaan pelancong dari kapal persiaran Seabourn Encore di ICQS, Kota Laksamana, Melaka.

MELAKA: Selepas lima hari pelancaran Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024, kapal persiaran Seabourn Encore yang membawa seramai 560 pelancong majoritinya dari Eropah menjadi kumpulan pertama tiba ke negeri ini melalui laluan laut.

Ketibaan mereka di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Kota Laksamana di sini pagi tadi disambut Pengerusi Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Abdul Razak berkata, beberapa kumpulan pelancong lain dijangka bakal tiba menerusi pintu masuk laluan laut berkenaan dalam masa terdekat.

Ujarnya, setakat ini terdapat tiga syarikat kapal persiaran telah menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri.

“Kita jangkakan akan ada beberapa kumpulan pelancong lain yang akan tiba menerusi pintu masuk jalan laut ini.

“Tetamu atau pelancong yang tiba pada kumpulan pertama ini kebanyakannya adalah pelancong dari Jerman, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Singapura dan pelbagai lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyambut ketibaan kumpulan pelancong berkenaan.

Tambah Abdul Razak, pihaknya menyasarkan seramai 50,000 pelancong luar negara masuk menerusi laluan laut sempena TMM 2024.

Jelasnya, pada tahun lalu, lebih 64,000 pelancong direkodkan memasuki Melaka melalui laluan laut.

“Secara keseluruhan pengunjung yang memasuki negeri ini menerusi ICQS pada tahun lalu adalah seramai 64,246 orang. Kita akan pergiat lagi kemasukan pada tahun ini untuk melebihi sasaran seramai 50,000 pengunjung ke negeri ini melalui jalan laut,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.