Thursday 25 January 2024

Tawau rekod penerbangan antarabangsa pertama

 


TAWAU: Penerbangan sewa khas yang membawa kira-kira 157 orang penumpang daripada Nanjing, China mencatat sejarah tersendiri apabila ia menjadi penerbangan antarabangsa pertama ke Tawau.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, penerbangan sewa khas yang menggunakan pesawat daripada syarikat penerbangan Firefly itu tiba di Lapangan Terbang Tawau kira-kira pukul 5.55 pagi semalam.

Beliau berkata, laluan penerbangan sewa khas baharu itu hasil usaha yang diambil oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Tourism Malaysia.

Katanya, penerbangan sewa khas oleh Firefly itu beroperasi tiga kali seminggu dan akan tiba di Tawau pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu. 

Dari segi kapasiti, penerbangan sewa khas yang akan berakhir pada hujung Mac itu mampu memuatkan seramai 540 orang setiap minggu.

“Kami amat mengalu-alukan pengunjung daripada China dan tidak sabar untuk menunjukkan keunikan budaya dan khazanah alam semulajadi yang terdapat di Sabah.

“Pelancaran penerbangan terus daripada Nanjing ke Tawau membuktikan wilayah ini mempunyai daya tarikan sebagai destinasi pelancongan. Saya sangat teruja untuk melihat laluan baharu ini menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan di Tawau untuk menjadi destinasi antarabangsa yang terkenal.

Mengulas lanjut katanya, pada masa ini Sabah menerima kemasukan 42 penerbangan seminggu daripada Beijing, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen, Hangzhou dan Wuhan ke Kota Kinabalu dengan kapasiti 6,520 penumpang setiap minggu.

Pengerusi Sri Pelancongan Sabah, Ken Pan telah mewakili Christina bagi menyambut ketibaan pelancong daripada Nanjing di Lapangan Terbang Tawau.

Pelancong China yang ingin meneroka keindahan destinasi pelancongan di Tawau boleh membuat tempahan penerbangan melalui pelbagai agensi pelancongan secara online seperti Ly.com, Ctrip, Qunar dan Fliggy.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.