Tuesday 2 January 2024

MOTAC sasar RM147.1 bilion sempena Visit Malaysia 2026

 


MELAKA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan kedatangan pelancong luar negara sebanyak 35.6 juta sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, MOTAC turut menyasarkan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM147.1 bilion dijangka diraih sepanjang tempoh VM2026.

Menurutnya, bagi menjayakan hasrat itu MOTAC memerlukan sokongan kerajaan negeri, penggiat industri serta sokongan rakyat bagi menjayakan kempen VM2026.

Beliau berkata, kerjasama itu amat penting daripada semua pihak dalam tempoh tiga tahun sebelum tibanya VM2026.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak terlibat membuat persiapan rapi bagi memastikan VM2026 berjaya serta memberi impak ekonomi secara optimum sekali gus memartabatkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di peringkat global.

“MOTAC menyasarkan kehadiran 35.6 juta pelancong asing sempena VM2026 dengan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM147.1 bilion ringgit.

“Malaysia kaya dengan tarikan pelancongan termasuk keindahan alam semula jadi, budaya dan kesenian yang pelbagai namun malangnya terdapat sesetengah negeri yang memandang remeh perkara ini.

“Mereka tidak mahu mengambil peluang untuk mengoptimumkan sumber pelancongan yang ada bagi memajukan industri ini hingga ke peringkat global. Mungkin ada yang tidak sedar industri pelancongan juga antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara,” ujarnya berucap pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Melaka (TMM2024) dan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Pengkalan Rama, di sini malam tadi.

Majlis perasmian disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam serta dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan barisan kepimpinan negeri, jabatan dan agensi.

Tiong berkata, beliau turut bimbang melihat tarikan pelancongan domestik bergerak perlahan seperti tidak mempunyai daya saing berbanding negara jiran.

Menurutnya, pihak kementerian amat mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Negeri Melaka menganjurkan TMM2024 serta menyediakan lebih 70 acara bagi menyambut kedatangan para pelancong.

“Kerjasama strategik kementerian dan kerajaan negeri apabila Melaka dipilih menganjurkan World Tourism Day (WTD) dan World Tourism Conference (WTC) 2025 yang dijadualkan pada 27 hingga 29 Sept 2025,” ujarnya.

Menurutnya, atas inisiatif penganjuran TMM2024, MOTAC mengumumkan peruntukan tambahan kepada kerajaan negeri Melaka sebanyak RM2 juta.

Sementara itu Ab. Rauf berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak kementerian yang mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta untuk kegunaan sepanjang TMM 2024.

“Sebelum ini kita berkongsi RM5 juta yang diperuntukan bukan sahaja Melaka tetapi dikongsi dengan beberapa negeri lain yang turut menganjurkan inisiatif yang kita lakukan,” ujarnya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.