ANTHONY Loke mengumumkan inisiatif penerbangan, perkhidmatan rel serta bas tambahan sempena sambutan Tahun Baru Cina di Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA |
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT)
mengumumkan inisiatif penerbangan, perkhidmatan rel serta bas tambahan sempena
sambutan Tahun Baru Cina pada awal bulan depan.
Menterinya,
Anthony Loke berkata, ia membabitkan penerbangan tambahan dari Kuala Lumpur ke
Sabah dan Sarawak oleh Batik Air dan penambahan trip tren elektrik (ETS)
Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dari Kuala Lumpur ke Ipoh dan Padang Besar.
Beliau berkata,
pihaknya turut meluluskan pembukaan permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS)
untuk bas tambahan sepanjang musim perayaan itu.
“Bagi
penerbangan tambahan, Batik Air bersetuju menambah lapan penerbangan tambahan
dari Kuala Lumpur ke Sibu bagi perjalanan pada 6 dan 7 Februari depan yang mana
tiket dijual serta-merta bermula hari ini.
“Bagi
menyokong mesej Malaysia Madani, Batik Air bersetuju menawarkan tambang ekonomi
harga tetap pada RM399 untuk laluan sehala Kuala Lumpur ke Sibu.
“Saya
juga dimaklumkan, Batik Air akan memulakan perkhidmatan berjadual ke Sibu dan
Tawau berbanding dari Kuala Lumpur ke Kuching dan Kota Kinabalu sebelum ini,”
katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, inisiatif ini adalah sebagai tambahan
kepada tambang tetap oleh AirAsia yang diumumkan minggu lalu dan juga tambahan
20 penerbangan oleh Malaysia Airlines dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak sempena musim perayaan ini.
Dalam
pada itu, Loke berkata, KTMB juga akan menambah empat perkhidmatan ETS
perjalanan dari laluan KL Sentral – Ipoh – KL Sentral pada 7 hingga 13 Februari
ini selain dua ETS tambahan bagi laluan KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral
pada 7 Februari sehingga 10 Mac ini.
“Dua daripada empat
perkhidmatan tambahan KL Sentral – Ipoh – KL Sentral adalah tren ekspres yang
hanya akan mengambil masa dua jam sehala berbanding masa perjalanan biasa iaitu
dua jam 40 minit.
“Tren
ekspres ini hanya akan berhenti di tiga stesen sahaja, iaitu KL Sentral, Kuala
Lumpur dan Ipoh. Keseluruhan tiket tambahan yang ditawarkan sepanjang Tahun Baru Cina dan Cuti Sekolah adalah sebanyak 29,526.
“Bagi
32 perkhidmatan ETS sedia ada, jumlah tiket yang ditawarkan adalah sebanyak
10,180 sehari,” katanya.
Katanya,
tiket-tiket tren tambahan tersebut akan mula dijual kepada orang ramai pada
Isnin ini bermula pukul 12 tengah hari.
Sementara
itu, katanya, permohonan bagi LPS akan mula dibuka pada 15 Januari hingga 2
Februari ini bagi permohonan bas tambahan sempena musim perayaan Tahun Baru
Cina.
“Tempoh
sah laku LPS ini adalah pada 7 Februari sehingga 18 Februari 2024. Langkah ini
pada tahun lepas berjaya menambah sejumlah 296 bas dan dijangka bilangan ini
akan lebih tinggi bagi tahun ini,” katanya.
Katanya, Agensi
Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga mengeluarkan surat peringatan kepada semua
pengendali terminal bas untuk menambah kakitangan dan kaunter tiket bagi
mengurus penambahan penumpang sempena musim perayaan nanti.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.