Monday, 2 November 2026

Sambutan Ketibaan Sulung (Maiden Call) Kapal Persiaran Navigator Of The Seas Di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) Pulau Pinang

 

PULAU PINANG, 30 OKTOBER  2026 - Tourism Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) menyambut ketibaan sulung kapal persiaran Navigator of the Seas di Terminal Kapal Persiaran Swettenham (Swettenham Pier Cruise Terminal – SPCT), Pulau Pinang.

Majlis sambutan tersebut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Yeoh Soon Hin, Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, bersama wakil daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB). Kapal persiaran berkenaan membawa lebih 3,000 pelancong antarabangsa, dengan majoriti penumpang terdiri daripada pelancong dari Singapura.

Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik Tourism Malaysia dalam memperkukuh industri pelancongan pelayaran negara serta meningkatkan kedudukan dan keterlihatan Malaysia sebagai destinasi pelayaran utama di rantau ini, khususnya bersempena dengan Kempen Visit Malaysia 2026-2027.

Penganjuran majlis sambutan ini juga diharap dapat memberikan pengalaman ketibaan yang istimewa dan bermakna kepada para pelancong antarabangsa, di samping memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mesra, berkualiti dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Bagi menyokong kelancaran dan menjayakan pelaksanaan majlis sambutan tersebut, Tourism Malaysia telah berkolaborasi dengan  Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) menerusi persembahan kebudayaan, cenderamata , bahan promosi pelancongan Malaysia serta penyertaan wakil Tourism Malaysia dan pejabat Tourism Malaysia Wilayah Utara sepanjang majlis sambutan berkenaan. Kerjasama ini diharapkan dapat menyerlahkan keunikan budaya dan daya tarikan pelancongan negara kepada para pelancong yang berkunjung ke Pulau Pinang.

Kapal Pelayaran Antarabangsa Navigator of the Seas merupakan kapal keempat dalam kelas Voyager kendalian Royal Caribbean. Kapal sepanjang 311 meter ini mempunyai kapasiti untuk menampung lebih 4,000 penumpang, dengan sokongan kira-kira 1,215 orang kru serta dilengkapi sekitar 1,674 kabin.

Kehadiran Navigator of the Seas di Pulau Pinang mencerminkan peranan strategik pelabuhan negara dalam rangkaian pelayaran antarabangsa serta potensi segmen pelancongan kapal persiaran dalam menyumbang kepada ekonomi setempat. Kunjungan lebih 3,000 pelancong antarabangsa ini berpotensi merancakkan aktiviti dalam sektor pengangkutan, makanan dan minuman, peruncitan serta perkhidmatan pelancongan, di samping menyerlahkan Pulau Pinang sebagai destinasi yang menawarkan kepelbagaian warisan sejarah, budaya dan tarikan pelancongan.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.