KANGAR: Kepelbagaian kedai makan
unik dan menarik selain harganya yang berpatutan di negeri ini menjadi antara
tarikan sekali gus turut membantu merancakkan kehadiran pengunjung bersempena
Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan
negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, premis makanan di negeri ini yang sering
kali tular di media sosial juga memainkan peranan penting dalam menarik
kehadiran pelancong.
Katanya, kebanyakan kedai ini juga
turut menampilkan makanan beridentitikan Perlis sekali gus menjadi daya
penarik.
Ujarnya, kombinasi makanan
tradisional dan moden pada masa kini sememangnya menjadi tumpuan pengunjung
yang mencari kelainan sajian berbanding negeri-negeri lain.
“Kerajaan negeri sememangnya
menyambut baik usaha dilakukan oleh pengusaha-pengusaha kedai makan dan kafe di
Perlis yang menampilkan keunikan pada premis serta makanan buat pengunjung.
“Banyak premis makanan menarik di Perlis dan sebagai contoh di Arau ini,
kita ada The Bunker Cafe dan pelbagai kedai lain yang menyediakan pelbagai menu
menarik dengan harga sangat berpatutan,” katanya ketika ditemui selepas
mengadakan lawatan di The Bunker Cafe di Batas Liku di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Badariah
berkata, industri makanan di Perlis sememangnya kian berkembang pesat sejak
kebelakangan ini dan para pengusaha perlu mengambil peluang bagi meraih
limpahan ekonomi menerusi kehadiran pengunjung luar.
“Penggunaan media sosial secara
meluas juga banyak membantu kedai-kedai makan di negeri ini menjadi ‘sasaran’
orang luar untuk berkunjung ke Perlis,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Badariah
berkata, peniaga dan pengusaha premis makanan di negeri ini dinasihatkan supaya
dapat menitik beratkan aspek layanan terhadap pelanggan, kebersihan dan
keselesaan buat pengunjung.
Tambahnya, langkah ini dapat
membantu dalam mempromosikan negeri ini bagi menarik lebih ramai pengunjung
luar.
“Jika pelancong berasa seronok
dengan kunjungan mereka ketika berada di premis makanan tersebut, sudah tentu
ia akan menjadi ‘buah mulut’ sekali gus membantu merancakkan kemasukan
pelancong ke negeri ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.