KUALA LUMPUR: Sektor pembuatan berorientasikan domestik dijangka menerima suntikan baharu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), walaupun industri eksport negara terus berdepan cabaran ketidaktentuan global.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Farah Zazreen Zainudin, berkata sokongan permintaan itu dijangka mengimbangi kelemahan yang masih dialami oleh sebahagian segmen eksport negara, dengan prospek pembuatan domestik lebih positif.
Katanya, ia turut disokong sektor pelancongan yang bakal mencetus kesan berganda terhadap perbelanjaan pengguna dan aktiviti rantaian bekalan tempatan.
"Pemulihan permintaan domestik dijangka menjadi penampan
penting kepada kelemahan pesanan luar, terutama apabila aktiviti pelancongan
meningkat sempena TMM 2026," katanya dalam nota penyelidikan.
Farah Zazreen berkata, sentimen pembuatan ketika ini masih dipengaruhi oleh penilaian berhati-hati terhadap risiko luaran dan domestik, termasuk kos input yang tinggi serta ketidaktentuan geopolitik.
Namun, katanya, peningkatan perbelanjaan pelancong mampu membantu menghidupkan semula segmen yang berkaitan langsung dengan penggunaan seperti makanan dan minuman, barangan pengguna serta produk kraftangan.
Bank Islam turut memetik perkembangan di Thailand sebagai penanda aras serantau, di mana negara itu mencatat PMI pembuatan 56.6 pada Oktober 2025, bacaan tertinggi sejak Mei 2023.
Beliau menjelaskan, peningkatan tersebut sebahagian besarnya digerakkan oleh permintaan domestik yang kukuh, walaupun pesanan eksport Thailand kekal lemah.
Katanya, prestasi Thailand membuktikan permintaan dalam negeri mampu menjadi enjin pertumbuhan yang penting bagi sektor pembuatan, terutama bagi negara yang mempunyai asas pelancongan besar.
"Malaysia juga berada pada kedudukan sama apabila penganjuran TMM 2026 dijangka merancakkan rantaian industri tempatan merentas pengeluaran makanan, peruncitan, produk kraftangan dan perkhidmatan berkaitan pelancongan," katanya.
Nota penyelidikan Bank Islam itu turut mengingatkan Malaysia mempunyai nisbah perdagangan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tertinggi dalam kalangan ASEAN-5 iaitu 137.4 peratus pada 2024, menandakan kebergantungan tinggi negara kepada persekitaran luaran.
Justeru, katanya, sebarang kejutan perdagangan global memberi kesan ketara kepada sentimen pengilang walaupun permintaan sebenar dalam negara kekal stabil.
Farah Zazreen menjelaskan, percanggahan antara Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan yang kekal di bawah paras 50 dan data eksport serta Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) yang sebenarnya kukuh adalah disebabkan perbezaan metodologi.
PMI adalah data tinjauan berasaskan sentimen, manakala eksport serta IPI adalah data sebenar yang mencerminkan pengeluaran dan penghantaran fizikal.
Menurut beliau, pengilang mungkin melaporkan bacaan PMI yang lemah disebabkan tekanan kos dan jangkaan risiko, walaupun kilang sebenarnya beroperasi pada kapasiti yang lebih aktif.
"PMI mencerminkan persepsi dan jangkaan masa hadapan. Dalam persekitaran global yang tidak menentu, pengilang sering mengambil pendekatan lebih berhati-hati walaupun data pengeluaran dan eksport menunjukkan pertumbuhan kukuh," katanya.
Segmen Elektrik dan Elektronik (E&E) terus mendominasi eksport, menyumbang lebih 40 peratus daripada keseluruhan penghantaran pembuatan.
"Walaupun terdapat sedikit ketinggalan antara jualan semikonduktor global dan eksport E&E Malaysia, trend pengukuhan teknologi global kekal menjadi penyokong utama prestasi sektor itu," katanya.
Bank Islam menjelaskan prestasi baik sektor E&E kadangkala 'menyembunyikan' kelemahan yang dialami oleh pengilang kecil dan sederhana dalam industri lain, menyebabkan bacaan PMI kekal lemah walaupun angka eksport tumbuh kukuh.
"Ini turut menjejaskan sentimen keseluruhan pengilang yang lebih sensitif kepada kos dan permintaan domestik. Selain itu, faktor kos input dan margin keuntungan yang terjejas turut mempengaruhi perasaan berhati-hati dalam kalangan pengilang," katanya.
Farah Zazreen berkata pengeluar mungkin mengekang pengambilan pekerja atau pesanan baharu meskipun permintaan sebenar menunjukkan peningkatan, menyebabkan bacaan PMI kekal rendah.
"Dalam konteks ini, penganjuran TMM 2026 dilihat sebagai peluang untuk memulihkan keyakinan pengilang, terutamanya mereka yang bergantung kepada tahap penggunaan domestik. Sektor seperti makanan diproses, barangan pengguna, tekstil, perabot dan produk logam ringan berpotensi mencatat peningkatan pengeluaran apabila permintaan pelancong meningkat," katanya.
Beliau berkata, Malaysia berpotensi mengikuti prestasi Thailand, terutama jika permintaan domestik terus dipacu oleh pelancongan sambil sektor eksport mengekalkan trajektori positif.
"TMM 2026 boleh menjadi pemangkin utama untuk mengimbangi risiko luaran, dengan permintaan domestik berperanan menyokong pengeluaran di kilang," katanya.
-berita harian online.

No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.