Tuesday, 4 November 2025

Selangor panggil semua pengusaha inap desa berdaftar dengan MOTAC

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim (berdiri tengah) bersama graduan pada Majlis Graduasi Hos Komuniti Setempat Selangor 2025. - Foto NSTP

KLANG: Selangor bercadang memanggil pengusaha inap desa di seluruh negeri ini bagi memberi penerangan dan taklimat berhubung proses pemutihan inap desa dan rumah tumpangan yang beroperasi tanpa lesen dan tidak sah. 

EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, ia dilaksanakan bagi memastikan perusahaan terbabit dilaksanakan secara teratur, ikut syarat dan mematuhi undang-undang Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta pihak berkuasa tempatan (PBT). 

"Pada tahun hadapan, kerajaan negeri dengan kerjasama MOTAC bercadang memanggil semua pengusaha inap desa untuk memberikan penerangan, taklimat supaya mereka ambil maklum mengenai masalah dan tanggungjawab mereka. 

"Mungkin penggunaan tanah, bendang dan sebagainya yang digunakan untuk bina inap desa tidak menepati syarat yang ditetapkan tetapi kita boleh putihkan dengan syarat kita bagi lesen sementara dan sebagainya.

"Sekarang lesen sementara pun tidak ada dan mereka tidak bayar apa-apa pun kepada PBT tetapi apabila berlaku sesuatu, kerajaan negeri (termasuk PBT) yang kena tanggung dan dipersalahkan.  

"Yang kedua, sampah sarap dijanakan oleh inap desa itu, siapa yang bertugas untuk membersihkannya?.. KDEBWM yang dipersalahkan tetapi kita tidak ada pendapatan jadi sekarang kerajaan negeri kena uruskan dan perbetulkan supaya lebih teratur," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Hos Komuniti Setempat Selangor Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam Tahun 2025 di Hotel Wydham, di sini hari ini. 

Kata Suee Lim, belum ada statistik inap desa yang lengkap di seluruh Selangor tetapi di Sabak Bernam ada 140 inap desa dikenal pasti dan sedang dibuat pemutihan dan sedang dalam pendaftaran serta pemberian lesen sementara. 

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Selangor bercadang untuk melanjutkan lagi Kempen Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025 hingga ke tahun hadapan dalam usaha mempromosikan lagi tempat-tempat menarik serta meningkatkan jumlah pelancong. 

"Ya, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari akan mengumumkan secara terperinci tentang prosesnya dalam masa terdekat. Kita sedang dalam usaha menyediakan semua itu," katanya.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.