KUALA LUMPUR: Penubuhan syarikat penerbangan milik negeri, AirBorneo, menandakan satu titik perubahan strategik yang melangkaui sekadar operasi komersial biasa dalam industri penerbangan.
Menurut laporan penyelidikan ekonomi BIMB Securities, langkah berani ini dilihat mirip dengan transformasi awal Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menggunakan pelaburan besar dalam sektor penerbangan untuk mengubah Dubai daripada sebuah penempatan perdagangan menjadi sebuah metropolis global yang terhubung dengan seluruh dunia.
Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa strategi berkenaan membolehkan Sarawak menyusun kapasiti penerbangan selaras dengan matlamat pembangunan jangka panjang negeri, bukannya sekadar mengejar keuntungan pantas.
"Pendekatan ini berbeza daripada syarikat penerbangan komersial
yang lazimnya didorong pertimbangan jangka pendek dalam menentukan laluan dan
kapasiti.
"Model yang diguna pakai ini menunjukkan bahawa sesebuah negeri dengan visi jelas mampu menyerap kerugian operasi pada peringkat awal penubuhan syarikat penerbangan itu. Kesanggupan menanggung kos permulaan diambil kira memandangkan gandaan ekonomi jangka panjang daripada sektor pelancongan dan perdagangan dijangka mencukupi untuk menampung pelaburan berkenaan," katanya.
Matlamat utama inisiatif AirBorneo adalah untuk meningkatkan
ketersambungan laluan udara sebagai pemangkin utama, dan bukannya matlamat
akhir semata-mata.
Akses penerbangan yang lebih baik ini dijangka mengukuhkan lagi tawaran ekopelancongan Sarawak yang semakin mendapat perhatian pelancong antarabangsa.
Selain itu, ketersambungan udara lebih efisien dijangka mengangkat status acara utama negeri seperti Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia ke tahap lebih berprestij.
"Ia juga dijangka memperkukuh daya tarikan Sarawak untuk penganjuran segmen Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) bertaraf antarabangsa.
"Dalam konteks pembangunan bandar, strategi penerbangan ini bertujuan meletakkan Kuching sebagai pintu gerbang serantau yang lebih terkemuka dan mudah diakses," katanya.
Usaha ini adalah sebahagian daripada agenda transformasi bandar Kuching 2030 yang sedang dirancang dan dilaksanakan kerajaan negeri.
Peningkatan aliran penumpang dan keterlihatan antarabangsa melalui AirBorneo memberi impak positif kepada segmen hospitaliti, makanan dan minuman, serta pengangkutan tempatan. Sektor hartanah di kawasan Greater Kuching turut diramal menerima manfaat daripada pertumbuhan sektor pelancongan dan penerbangan.
BIMB Securities turut menyentuh perbincangan cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang baharu di pinggir bandar raya Kuching. Jika direalisasikan, projek berimpak tinggi ini bukan sahaja menyokong operasi AirBorneo, malah memanjangkan rantaian projek pembinaan negeri yang sedia ada untuk kontraktor tempatan.
Kekuatan fiskal Sarawak yang disokong rizab besar dianggarkan berjumlah RM25 bilion hingga RM27 bilion membolehkan pelaksanaan projek berimpak tinggi tanpa menjejaskan kestabilan kewangan. Peruntukan pembangunan sebanyak RM9.3 bilion pula membuktikan komitmen negeri dalam mempercepatkan transformasi fizikal dan struktur ekonomi.
Kesan limpahan daripada bajet negeri dan projek berkaitan bukan sahaja terhad kepada syarikat kontraktor utama, malah memperkukuh keseluruhan sektor ekonomi melalui aktiviti hiliran. Setiap tapak pembinaan, naik taraf pelabuhan dan hab penyelidikan dijangka meningkatkan permintaan terhadap bahan binaan, tenaga kerja, jentera dan perkhidmatan profesional.
Syarikat pembinaan dan infrastruktur seperti NAIM, KKB Engineering Bhd dan Ibraco Bhd berada pada posisi terbaik untuk meraih manfaat hasil transformasi infrastruktur negeri. Keupayaan mereka disokong hubungan sedia ada dengan agensi negeri, pemahaman terhadap keadaan tempatan dan kehadiran kukuh dalam rantaian bekalan.
Secara keseluruhan, Belanjawan Sarawak 2026 dan inisiatif strategik seperti AirBorneo mewakili titik perubahan penting dalam evolusi ekonomi negeri.
Usaha ini dilihat sebagai pelan induk untuk menyusun semula
kedudukan sosioekonomi jangka panjang Sarawak supaya kekal berdaya saing di
peringkat nasional dan global.
-berita harian online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.