Tuesday, 11 November 2025

M K Land komited pelihara alam sekitar, lepas 44,000 benih anak ikan lampam sungai di Tasik Bukit Merah

 

KUALA LUMPUR: M K Land Holdings Bhd (M K Land) melalui cabang pelancongan lestarinya, Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), meneruskan komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar dengan melaksanakan program pelepasan 44,000 ekor benih anak ikan Lampam Sungai di Tasik Bukit Merah baru-baru ini. 

Inisiatif ini merupakan kerjasama antara M K Land dan Jabatan Perikanan Negeri Perak, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam melestarikan alam sekitar serta memulihara sumber dan biodiversiti perikanan darat, melalui aktiviti pengkayaan sumber dan habitat di kawasan tasik. 

Selain memelihara keseimbangan ekosistem semulajadi, program ini juga diharap dapat meningkatkan sumber bagi menjamin keterjaminan makanan serta menjadi pemangkin kepada aktiviti rekreasi dan ekopelancongan di Tasik Bukit Merah. 

Pelepasan benih anak ikan ini dilaksanakan secara serentak membabitkan lebih 40 orang yang terdiri daripada pihak pengurusan kanan M K Land bersama-sama kakitangan Bukit Merah Laketown Resort serta anak-anak mereka, sebagai simbolik kepada komitmen berterusan syarikat memelihara dan memulihara alam semula jadi untuk generasi akan datang.

Pengurus Bukit Merah Laketown Resort, M. Danesh, berkata program pelepasan benih anak ikan Lampam Sungai bukan sahaja mencerminkan tanggungjawab sosial korporat terhadap alam sekitar, tetapi juga simbol kepada hubungan harmoni antara manusia dan alam. 

Katanya, Tasik Bukit Merah adalah khazanah bersejarah yang perlu dijaga bersama agar terus memberi manfaat kepada komuniti setempat dan generasi masa depan. 

"Bukit Merah Laketown Resort menawarkan keindahan alam semulajadi yang memukau, dengan flora dan fauna yang unik serta berlatarbelakangkan Tasik Bukit Merah - tasik buatan manusia tertua di Malaysia yang dibina pada tahun 1906. 

"Keindahan ini adalah warisan yang perlu dipelihara, dan kami di Bukit Merah Laketown Resort komited untuk terus memulihara kelestarian alam Bukit Merah agar terus kekal indah dan terpelihara untuk generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan. 

Ketua Cawangan Sumber Perikanan Tangkapan, mewakili Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Perak, Nurul Farhanis Syatila Kamaruzaman, berkata sebanyak 44,000 ekor benih anak ikan Lampam Sungai berjaya dilepaskan di Tasik Bukit Merah, hasil inisiatif bersama antara Jabatan Perikanan Negeri Perak dan Bukit Merah Laketown Resort. 

"Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen kami untuk menyokong kelestarian dan menstabilkan ekosistem sumber perikanan semula jadi melalui aktiviti pengkayaan sumber dan habitat di kawasan tasik. 

"Diharapkan inisiatif ini dapat membantu memelihara keseimbangan ekosistem terutamanya di kawasan tasik ini dalam jangka panjang," katanya. 

Sebagai salah satu destinasi pelancongan ikonik di utara tanah air, Bukit Merah Laketown Resort terus memainkan peranan penting dalam memupuk kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar, seiring aspirasi MK Land untuk membangunkan komuniti dan destinasi pelancongan secara mampan.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.