Sunday, 2 November 2025

Memulihara warisan KL

 

KUALA LUMPUR: Pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dalam pemuliharaan Carcosa Seri Negara dan Bangunan Sultan Abdul Samad berupaya menarik penyertaan pelabur swasta dalam merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan sekitarnya. 

Ketika timbul kritikan sinis terhadap pelaburan itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, ia juga akan 'menghidupkan' semula kawasan warisan di ibu negara.

Beliau berkata, pelaburan yang dibuat Khazanah kira-kira RM600 juta itu sebenarnya adalah sebahagian inisiatif Warisan KL.  

Katanya komitmen kerajaan untuk menghidupkan semula kawasan warisan di ibu negara itu tidak terhenti di situ sahaja, sebaliknya perancangan masa depan juga termasuk penambahbaikan Kompleks Dayabumi dan pemuliharaan Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang ikonik.

Tegasnya, apa yang penting, usaha pemulihan bangunan warisan oleh kerajaan menerusi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah mewujudkan keyakinan kepada pelabur swasta yang ketara. 

"Bersama dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang memulihkan semula Stadium Merdeka dan Stadium Negara di kawasan Merdeka 118, dilihat memberi keyakinan kepada pelabur untuk melabur di kawasan tumpuan seperti Lebuh Ampang dan Jalan Petaling.

"Kawasan sekitarnya itu kini menyaksikan perubahan positif dengan kawasan Petaling Street, misalnya, tidak lagi sekadar pasar jalanan, tetapi telah menjadi tumpuan hotel butik berprestij dengan kadar bilik hingga RM1,000 semalam," katanya kepada BH Ahad dalam satu temu bual baru-baru ini. 

Menurut Johan, dengan adanya Merdeka 118 dan pemuliharaan semula Stadium Merdeka dan Stadium Negara juga telah menarik kemasukan pelabur swasta. 

Katanya, difahamkan ada pelaburan ratusan juta ringgit oleh pelabur swasta bagi mengambil alih deretan kedai warisan di kawasan sekitar Lebuh Ampang dan membaik pulihnya menjadi kafe baharu. 

Katanya, kawasan itu kini bertukar wajah menjadi hab 'hipster' dengan pelbagai kedai dan kafe baharu, sekali gus menjadi destinasi menarik untuk pelancongan. 

Tambahnya, kawasan tumpuan pelancong lain seperti Central Market KL yang dulunya sepi, kini dilihat lebih meriah dan menjadi tumpuan ramai. 

Pelaburan strategik 

Beliau menekankan bahawa pelaburan strategik oleh GLIC itu bukan bertujuan menyingkirkan atau 'crowd out' pembabitan sektor swasta, sebaliknya membantu menarik atau 'crowd in' pelaburan swasta dengan keyakinan bahawa kerajaan sememangnya memulihkan semula bangunan warisan, menghidupkan semula kawasan sekitar. 

"Apabila kerajaan menunjukkan komitmen untuk membelanjakan dana dan memulihkan kawasan ini menjadi cantik, sektor swasta menjadi lebih yakin untuk melabur. 

"Impak ekonomi daripada pemulihan tapak warisan ini diharapkan dapat 'menarik' pelaburan lain," katanya. 

Dalam pembentangan Belanjawan 2026 bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan hampir empat dekad lalu, kerajaan telah merundingkan pemulangan Carcosa Seri Negara daripada pihak British, yakni sebuah bangunan bersejarah yang melambangkan maruah dan kedaulatan bangsa.

Beliau berkata, Bangunan Sultan Abdul Samad, saksi bersejarah mengenai Raja-Raja Melayu dan di mana bendera Union Jack diturunkan. 

Katanya, Khazanah melabur untuk kerja pemuliharaan Carcosa Seri Negara dan usaha Warisan KL diperluas kepada kerja pemuliharaan Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Kompleks Dayabumi. 

Perdana Menteri berkata, pembangunan Merdeka 118 oleh PNB akan dilengkapi dengan pembukaan Muzium Tekstil pada tahun depan sebagai usaha mengetengahkan tekstil dunia Melayu selain memulihara Stadium Merdeka dan Stadium Negara. 

Carcosa Seri Negara dibina pada 1896 oleh Sir Frank Swettenham, Residen-Jeneral British pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan dijadikan kediaman rasminya sejak 1904. 

Bangunan bersejarah itu juga pernah menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.

 Dengan usaha pemulihan yang dijalankan Khazanah itu, Carcosa Seri Negara bakal menjadi destinasi ekobudaya inklusif yang merangkumi galeri, ruang penceritaan dan aktiviti komuniti. 

Menggabungkan elemen warisan, biodiversiti dan kreativiti, tapak itu bakal menawarkan pengalaman imersif, serta mengukuhkan peranannya dalam masa depan budaya dan ekologi KL.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.