Wednesday, 19 February 2014

1,030 pakej pelancongan baharu sempena TMM 2014

 
Azizan Noordin (lima dari kiri) ketika melakukan flag off bas KL Hop-On Hop-Off untuk mengedar risalah Pakej Pelancongan 1001 Cuti-Cuti 1Malaysia selepas pelancaran risalah di Pusat Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyediakan sebanyak 1,030 pakej pelancongan baharu kepada pelancong domestik dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Antara aktiviti unik ditawarkan menerusi Pakej Pelancongan 1,001 Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) itu adalah 'Kelas Membuat Kasut George Town' di Pulau Pinang yang memberi peluang kepada pelancong menyaksikan sendiri dan mempelajari seni membuat kasut.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, kementerian itu menyasarkan dapat menarik sejumlah 54.5 juta pelancong domestik dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM34.3 bilion menerusi penyediaan pakej berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah pelancong domestik pada 2012 meningkat sebanyak lapan peratus kepada 49.4 juta orang berbanding 45.7 juta pelancong pada 2011 manakala statistik tahun lalu sedang dikemas kini.

"Jumlah perbelanjaan pelancong domestik pada 2012 pula adalah sebanyak RM31.1 bilion, meningkat sebanyak 13 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM27 bilion," katanya ketika melancarkan Pakej Pelancongan 1,001 CC1M di Pusat Tourism Malaysia, Jalan Ampang di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Datuk Azizan Noordin.

Mohamed Nazri berharap semua pihak dapat meneruskan usaha bagi memastikan pelancongan domestik berkembang dan kekal sebagai salah satu penggerak ekonomi negara yang utama. Menurut beliau, pelancongan domestik merupakan satu strategi penting bagi mendidik generasi masa kini dan akan datang untuk menghargai dan mencintai alam semulajadi, warisan sejarah, kebudayaan serta institusi kemasyarakatan di negara sendiri menerusi aktiviti pelancongan.

Katanya, peningkatan dalam pelancongan domestik juga boleh mencipta pelaburan baharu dan sektor tersebut akan bertambah baik jika rakyat tempatan memilih untuk bercuti dalam negara sendiri. "Dalam hal ini saya menyeru semua pengusaha pelancongan untuk membangunkan pakej percutian domestik dengan lebih agresif, menarik dan memenuhi kehendak serta trend terkini masyarakat tempatan.

"Saya berharap rakan-rakan dalam industri pelancongan tempatan akan terus memperkasakan pembangunan pakej-pakej domestik terutama semasa sambutan TMM 2014, sekali gus menerapkan nilai dan budaya melancong dalam negara sendiri dalam kalangan penduduk Malaysia melalui percutian terancang," kata beliau.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata, edisi pertama Pakej Pelancongan 1,001 CC1M disediakan kepada pelancong domestik dan antarabangsa yang dibangunkan dengan kerjasama 297 agensi pelancongan serta inap desa di seluruh negara.

Beliau berkata, pakej-pakej yang ditawarkan itu mempunyai pelbagai tingkat harga dengan dikategorikan mengikut negeri dan segmen bagi memudahkan para pelancong dalam serta luar negara memilih destinasi percutian berdasarkan minat masing-masing.

"Antara segmen yang ditawarkan adalah inap desa, pelancongan makanan, agro pelancongan, eko pelancongan, kembara bermotosikal, bulan madu, seni kontemporari, bina pasukan, pelancongan mewah, pelancongan berbasikal," katanya.

Sementara itu Azizan memberitahu, pakej-pakej pelancongan berkenaan terkandung dalam risalah yang boleh dilayari di laman web www.tourismmalaysia.gov.my atau boleh didapati secara percuma di pejabat Tourism Malaysia negeri-negeri, Pusat Penerangan Pelancongan dan di pameran pelancongan domestik disertai oleh agensi itu.

Katanya, sebanyak 50,000 naskhah buku mengenai pakej pelancongan itu akan dicetak dan diedarkan di seluruh negara, sekali gus membolehkan pelancong domestik dan antarabangsa menjadikannya sebagai panduan memilih destinasi serta segmen pelancongan diminati mereka.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.