IPOH 30 Jun - Tourism Malaysia hari ini memperkenalkan 11 Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia 'Perak Bike Ride' sebagai satu tarikan baru kepada pelancong yang berkunjung ke negeri ini.
Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Azizan Noordin berkata, 10,000 risalah mengenai pakej itu akan diedarkan di semua 22 pusat penerangan pelancongan seluruh negara dan 44 pejabat Tourism Malaysia di luar negara. Tambah Azizan, pakej itu yang melibatkan tujuh agensi pelancongan dari negeri ini akan turut dipromosikan sempena pameran-pameran pelancongan yang disertai Tourism Malaysia.
"Konsep pelancongan berbasikal sudah menjadi trend pelancongan terkini yang menjadi minat pelancong terutamanya dari negara-negara maju. Justeru kita sedang giat mengatur usaha untuk membentuk pakej-pakej berbasikal di setiap negeri. "Dengan pakej istimewa serendah RM87, RM150 hingga RM408, pelancong dapat melihat keindahan bandar Ipoh, Pulau Pangkor dan Gopeng," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pakej tersebut yang disempurnakan Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Abdul Rahim Ariff, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia Perak, Norshamshida Abdul Rahman; Timbalan Ketua Polis (Pentadbiran) Daerah Ipoh, Supritendan Ahmad Termizi Abdul Haq dan Presiden KRI Cycling Team, Chong Him Shoong.
Bagi menggalakkan aktiviti pelancongan berbasikal, Azizan menyarankan MBI mewujudkan prasarana yang sesuai bagi aktiviti itu seperti laluan berbasikal, tempat meletak basikal dan akses berbasikal yang sempurna demi keselesaan pelancong. Pakej berbasikal itu dikendalikan Tourism Malaysia dengan kerjasama KRI Cycling Team yang bertanggungjawab menentukan laluan-laluan sesuai untuk aktiviti berbasikal.
Terdahulu, seramai 200 peserta dari kelab berbasikal tempatan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar sekolah serta penggiat industri pelancongan menyertai program berbasikal di sekitar bandar raya ini kira-kira pukul 10 pagi. Kayuhan sejauh lapan kilometer yang bermula di Taman Dr. Seenivasagam itu memberi peluang kepada peserta merasai pengalaman melalui laluan yang telah dibangunkan bagi pakej Cuti-Cuti 1Malaysia 'Perak Bike Ride'.
-www.utusan.gov.my
www.tourism.gov.my
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.