Sunday, 1 July 2012

Tasik Putrajaya bermandikan cahaya



PUTRAJAYA 30 Jun - Persisiran Tasik Putrajaya malam ini bermandikan cahaya penuh warna-warni dengan pertunjukan bunga api dan perarakan 15 bot berhias mewakili pelbagai agensi dan badan berkanun kerajaan serta dua penyertaan dari luar negara iaitu Kenya dan China.


Malah, gabungan pertunjukan bunga api, perarakan bot berhias dan pameran bunga-bungaan nyata berjaya menarik puluhan ribu pelancong asing dan tempatan pada hari pertama Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria 2012). Lebih bertuah tahun ini, Kementerian Pelancongan bermurah hati menganjurkan Perarakan Malam Flora Pelancongan Antarabangsa 1Malaysia (1MITNF) setiap malam sepanjang Floria 2012, mulai malam tadi hingga 8 Julai ini.


Dengan mengekalkan tema yang sama iaitu Keajaiban Malam, perarakan bot berhias dan pertunjukan bunga api menjadi antara acara paling dinantikan oleh semua pengunjung ke Floria 2012. Ramai dalam kalangan pengunjung sanggup menunggu seawal jam 6 petang di sekitar persisiran Tasik Putrajaya terutama berhampiran Monumen Alaf Baru, Presint 2, di sini semata-mata mahu menyaksikan sendiri keunikan dan keindahan perarakan bot berhias kali ini.


Menterinya, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen, berkata, program kali kedua diadakan itu bagi memeriahkan lagi Floria 2012 dan menjadi ikon serta produk terbaru pelancongan negara.
Beliau berkata, sebanyak 13 badan berkanun dan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri termasuk Perbadanan Putrajaya (PPj), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Kementerian Pelancongan Malaysia dan Tourism Malaysia menyertai perarakan bot berhias pada kali ini. "Kita akan membuat pertunjukan ini dalam bentuk pertandingan yang mana penonton sendiri akan memilih bot yang dirasakan mampu memenangi empat kategori dipertandingkan iaitu bot tercantik, bot paling kreatif, bot popular dan bot terbaik keseluruhan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian perarakan bot berhias bertemakan Keajaiban Malam yang disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun. Dalam pada itu katanya, penganjuran perarakan bot berhias itu juga bertujuan untuk memperkenal dan mempromosikan seni budaya dan warisan tradisional rakyat Malaysia kepada pelancong asing serta memupuk semangat cintai alam sekitar dalam kalangan masyarakat setempat. Waktu pameran Floria Putrajaya 2012 untuk hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam manakala hari Jumaat hingga Ahad dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam dan masuk adalah percuma.
-http://www.utusan.com.my/

Tasik Putrajaya bermandikan cahaya dengan pertunjukan bunga api dan perarakan 15 bot berhias dalam Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria 2012) termasuk dua penyertaan luar negara iaitu Kenya dan China, malam tadi. - MINGGUAN/ZAKI AMIRUDDIN

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.