Sunday, 1 July 2012

Raja Permaisuri Agong rasmi Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2012


PUTRAJAYA 30 Jun - Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah hari ini berkenan mencemar duli menyempurnakan perasmian Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria 2012) di sini.


Seri Paduka turut meluangkan masa hampir sejam setengah untuk melawat pameran yang dikendalikan oleh kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Perbadanan Putrajaya (PPj). Lawatan Tuanku Haminah berakhir di kawasan pavilion yang menempatkan pameran pelbagai gubahan bunga yang menarik dan berwarna-warni oleh peserta tempatan dan antarabangsa termasuk dari China, Hong Kong, Jepun, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).


Mengiringi Seri Paduka ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan dan Presiden PPj, Tan Sri Samsudin Osman. Bertemakan Bunga Kertas-Tetap Menawan (Bougainvillea-Enduring Beauty), Floria 2012 berlangsung di pesisiran Tasik Presint 2 di sini selama sembilan hari bermula hari ini.


Lebih 400,000 pokok dari pelbagai spesies dan bunga-bungaan serta tanaman hiasan dari kawasan tropika dan sub-tropika dihimpunkan sepanjang tempoh pameran. Waktu pameran Floria 2012 untuk hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam manakala hari Jumaat hingga Ahad dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam dan masuk adalah percuma.
-www.utusan.com.my

TUANKU Hajah Haminah tertarik dengan gubahan bunga mawar selepas berkenan merasmikan Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria 2012) di Presint 2, Putrajaya, semalam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.