Friday, 20 July 2012

Penempatan Imam Tarawih Luar Negara Di Wilayah Persekutuan

Bersempena dengan Ramadhan yang bakal menjelang beberapa hari lagi, Jakim sebagaimana tahun sebelum ini telah membuat jemputan khas imam tarawih dari luar negara. Seramai 3 orang imam dari negara Mesir dan Syria akan ditempatkan di dua buah masjid di bawah seliaan Jakim dan JAWI iaitu Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan.


Bagi Masjid Negara, imamnya adalah Syeikh Abdurrahman el-Dousuky Taha Radwan dari Mesir. Beliau merupakan imam tarawih jemputan bagi Masjid Negara untuk dua tahun berturut-turut sebelum ini. Manakala bagi Masjid Wilayah Persekutuan, 2 orang imam tarawih jemputan yang bakal mengimarahkan tarawih di masjid berkenaan adalah Syeikh Muhammad Munjiy dari Mesir dan Sheikh Roomiy dari Syria. Kesemua imam tarawih jemputan ini dijadualkan untuk mengimamkan masjid berkenaan selama 30 hari sepanjang bulan Ramadhan.

Lebih menarik pada tahun ini adalah kesediaan negara Arab Saudi untuk menawarkan seramai 6 orang imam dari masjid-masjid sekitar Mekah kepada kerajaan Malaysia. Perkara ini telah dimaklumkan kepada Jakim melalui satu kunjung hormat dari atase Arab Saudi di Malaysia kepada Dato' Ketua Pengarah pada 18 Julai 2012. Imam tersebut adalah Syeikh Fadi Muhammad Al Batsy, Dr. Bader Al- Utaibi, Dr. Ahmad al Abdul Qadir, Dr. Sufian Ibnu Umar, Imam Aiman Al Hamdan dan Syeikh Soleh Al Sikhan. Mereka ini akan ditempatkan di beberapa negeri di seluruh Malaysia pada Ramadhan ini.

Justeru, kehadiran imam-imam jemputan ini diharapkan mampu menarik para jemaah yang merindui kefasihan dan kelunakan alunan bacaan al-Quran dari orang arab sendiri.

Sehubungan dengan itu, Jakim menjemput seluruh masyarakat Islam di Malaysia khususnya sekitar Wilayah Persekutuan dapat memanfaatkan peluang yang ada ini dengan mengimarahkan tarawih di masjid-masjid ini.
-JAKIM.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.