Thursday, 30 December 2010

Pelancongan: Penglibatan media diperlukan

MELAKA 29 Dis. - Pengamal media di negeri ini perlu bekerjasama dengan pengusaha industri pelancongan seperti agensi, pengusaha hotel dan pemandu pelancong bagi meningkatkan kualiti kemajuan industri pelancongan Melaka pada masa depan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Seet Har Cheow berkata, golongan ini yang dikenali sebagai 'tourism industry player' memerlukan penglibatan media bagi memperkenalkan produk pelancongan negeri yang kini sudah berstatus negeri maju. Menurutnya, kerjasama wakil industri pelancongan, syarikat swasta badan berkanun, media tempatan dan pelbagai pihak berkaitan terus berganding bahu dalam memastikan kesinambungan setiap produk pelancongan di negeri ini agar terus pelihara.

''Tanpa mereka ini, industri pelancongan Melaka pasti malap dan tidak akan dikenali seluruh negara. ''Apa paling penting usaha penggiat industri pelancongan ini sentiasa menampakan hasil apabila Melaka terus unggul menjadi negeri pelancongan yang sering menerima kunjungan pelancong luar," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Pelancongan 2010 anjuran Tourism Malaysia Melaka di Philea Resort & Spa, Ayer Keroh di sini semalam. Turut hadir Pengarah Tourism Malaysia Melaka, Ahmad Yahaya dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Zulkifli Mohamad.

Pada majlis itu, media tempatan, agensi-agensi pelancongan dan pengurus hotel diraikan dalam suasana meriah dan turut menerima penghargaan dari Tourism Malaysia Melaka. Tidak ketinggalan pengurus bagi beberapa produk pelancongan negeri ini seperti Melaka Duck Tours, Melaka River Cruise, Menara Taming Sari dan pengusaha inap desa turut hadir menerima penghargaan masing-masing. Selain itu, kata Har Cheow, usaha Tourism Malaysia Melaka menganjurkan malam penghargaan tersebut dianggap langkah terbaik menggalakan pengusaha industri pelancongan bergiat aktif dalam meningkatkan mutu serta kualiti perkhidmatan kepada pelancong. Menurutnya, kerajaan negeri berharap golongan berkenaan terus meningkatkan komitmen membantu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini pada tahun akan datang.

''Saya amat menyokong inisiatif yang diambil oleh Tourism Malaysia Melaka dengan memberi pengiktirafan penglibatan aktif serta sumbangan produk-produk pelancongan dalam memajukan industri pelancongan di negeri ini," katanya. Terdahulu, Ahmad Yahaya sewaktu berucap pada majlis itu berkata, program makan malam yang diadakan itu merupakan salah satu usaha Tourism Malaysia Melaka untuk menghargai peranan media dan pengusaha pelancongan dalam meningkatkan pembangunan industri pelancongan.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.