PUTRAJAYA 30 Dis. - Seramai 2.6 juta orang mengunjungi 21 buah muzium di bawah seliaan Jabatan Muzium sepanjang tahun ini. Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Ibrahim Ismail berkata, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan 100,000 orang berbanding tahun lepas. "Muzium Negara mencatatkan jumlah pengunjung paling tinggi iaitu satu juta orang dengan separuh daripadanya ialah pengunjung tempatan manakala selebihnya pelancong asing," katanya. Terdahulu, beliau menerima kunjungan daripada bekas pekerja lombong Sungai Lembing di Muzium Putrajaya di sini hari ini.
Ibrahim menambah, dalam meningkatkan jumlah kunjungan pelawat ke muzium, pihaknya berusaha keras mempelbagaikan aktiviti dan pameran untuk dijadikan daya tarikan. Beliau berkata, antara inisiatif tersebut adalah menjalin kerjasama pintar dengan institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan individu perseorangan dalam mendapatkan artifak serta barang sejarah. "Kerjasama seperti ini bukan sahaja menjimatkan kos perbelanjaan malah dapat memberi maklumat baru kepada pengunjung," katanya.
Selain itu, katanya, dalam masa terdekat, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi pelancongan untuk menarik para pelancong terutamanya dari luar negara melawat muzium. "Kerjasama ini penting bagi membolehkan pengusaha-pengusaha agensi itu meletakkan muzium antara tempat yang perlu dilawati oleh para pelancong," katanya.
-Utusan Online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.