KUALA LUMPUR 8 Dis. – Group Lotus Plc. (Group Lotus) hari ini mengumumkan penyertaannya dalam perlumbaan Formula 1 (F1) bagi musim 2011. Penyertaan itu dilakukan menerusi jalinan kerjasama dengan Genii Capital (Genii) yang menyaksikan pasukan Formula 1 (F1) Renault dinamakan semula sebagai ‘Lotus Renault GP’. Pengumuman itu turut menyaksikan kemunculan semula kerjasama antara Lotus dan Renault yang pernah dilakukan pada tahun 1980-an.
Penasihat Proton Holdings Bhd. (Proton), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ia merupakan perkembangan menarik yang akan memberi manfaat strategik kepada kedua-dua pihak iaitu Group Lotus dan Proton. ‘‘Saya memberi sokongan penuh terhadap kerjasama ini,’’ katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini. Group Lotus merupakan anak syarikat Proton dan akan memiliki kepentingan ekuiti utama dalam Genii. Genii merupakan syarikat pelaburan dengan portfolio pelaburan dalam teknologi automotif.
Sementara itu, Pengerusi Proton, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh berkata, pihaknya percaya Group Lotus dapat menyumbang kepada F1, begitu juga sebaliknya. ‘‘Selepas pertimbangan sewajarnya dibuat, kami percaya langkah ini bakal membuahkan hasil dari segi komersial dan pemasaran,’’ jelasnya. Menurut kenyataan Group Lotus, tradisi penyertaan Lotus dan teknologi Renault dalam F1 mampu membawa kejayaan kepada pasukan itu pada masa hadapan. Tambahnya, kerjasama antara Lotus dan Genii akan menghasilkan gabungan teknologi baru seperti teknologi hibrid, sistem pemulihan tenaga kinetik (KERS), aerodinamik terkini dan bahan yang lebih ringan.
Sebagai tambahan Genii turut menawarkan Proton kemampuan untuk menerima manfaat hubungan perniagaan sedia ada di Rusia dan beberapa negara lain sebagai cara untuk mengembangkan perniagaan di peringkat global. Melalui Genii, Proton juga boleh mengakses teknologi automotif terkini ekoran hubungan Genii dengan Mangrove.
Ketua Pegawai Eksekutif Group Lotus, Dany Bahar berkata, beliau tidak boleh memikirkan platform yang lebih baik untuk jenama komunikasi automotif dengan menyertai sukan permotoran dan F1. ‘‘Kami sedar terdapat lebih banyak kontroversi dalam penggunaan jenama kami dan saya berpuas hati dengan secara formalnya mengetahui kedudukan kami. Kami adalah Lotus dan kami muncul kembali,’’ katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.
-Utusan Online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.