Monday, 6 December 2010

500 peserta mulakan kembara Cabaran Rainforest 2010

NUSAJAYA 5 Dis. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melepaskan seramai 500 peserta Cabaran Rainforest (RFC) 2010 di Dataran Mahkota, di sini semalam untuk memulakan pengembaraan kenderaan pacuan empat roda ke seluruh pelosok negeri ini. Para peserta dari 50 negara yang menaiki 150 kenderaan berkenaan akan menjelajah kawasan pedalaman dan hutan belantara di Segamat, Labis, Kluang, Mersing dan berakhir di Johor Bahru pada 13 Disember ini. Majlis pelepasan itu turut disaksikan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dalam keadaan hujan renyai-renyai.

Penganjur RFC, Luis J.A. Wee berkata, sukan lasak bertaraf antarabangsa bagi kali ke-14 itu merupakan ekspedisi sejauh 500 kilometer membabitkan lokasi-lokasi mencabar dan pedalaman yang menuntut para pesertanya melakukan aksi-aksi lasak sebelum menamatkan penjelajahan. "Kita boleh lihat pelbagai kemahiran dan cara-cara pemanduan lasak oleh pemandu-pemandu Malaysia, Amerika Syarikat, Australia, Denmark, Brazil, Vietnam, Norway, Poland, Jerman, Rusia dan sebagainya. "Peserta paling ramai ialah dari Rusia iaitu 22 peserta diikuti 18 peserta Vietnam manakala pasukan dari Malaysia ialah dari Johor, Selangor, Sarawak, Kuala Lumpur dan Pahang," katanya. Beliau berkata, RFC turut dibantu Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Unit Semboyan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Wee berkata, RFC pada kali ini adalah paling menarik kerana laluan yang ditempuhi peserta amat sukar dan mencabar berbanding tempat lain yang pernah diadakan penganjurannya.
"Antara cabaran utama ialah keadaan cuaca dan bentuk muka bumi. Contohnya, pada setiap dua kilometer peserta akan menempuhi sungai dan laluan yang sukar," kata pengasas RFC itu.
Sementara itu, peserta dari Australia, David Metcalfe, 56, berkata, pasukannya sudah bersedia dengan cabaran kali ini dan persiapan sudah dibuat sejak beberapa bulan lalu. Katanya, keadaan geografi Malaysia amat berbeza sekali dengan trek yang pernah dilalui di Eropah dan ia memberi satu pengalaman luar biasa. Peserta Itali, Andrea Corsetti, 40, berkata, dia mengubah suai kenderaannya bagi memastikan setiap perjalanan lancar. "Ini adalah pengalaman pertama saya menyertai sukan lasak RFC di Malaysia dan berharap dapat menyertainya lagi pada tahun depan," katanya. Peserta Amerika Syarikat, Rod Coldwell, 52, berkata, pasukannya menyediakan banyak barang gantian kerana menjangkakan kenderaannya akan mengalami kerosakan berikutan laluan yang mencabar.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.