Friday, 31 December 2010

Pemandu pelancong fasih berbahasa Korea diperlukan

KOTA KINABALU 30 Dis. - Sabah memerlukan pemandu pelancong yang boleh berbahasa Korea dalam usaha kerajaan negeri menarik lebih ramai pelancong dari negara tersebut ke negeri ini. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun berkata, masalah komunikasi merupakan halangan utama yang sering dihadapi oleh pelancong Korea apabila berkunjung ke Sabah. Katanya, masalah itu hanya akan dapat diatasi sekiranya pemandu pelancong di negeri ini dapat berkomunikasi dalam bahasa Korea dengan baik. "Apa yang boleh kementerian lakukan adalah dengan melatih pemandu pelancong tempatan supaya dapat bertutur dalam bahasa Korea, sekali gus memberi keselesaan kepada golongan pelancong dari negara itu ketika berada di Sabah," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam meraikan Duta Korea Selatan ke Malaysia, Lee Yong Joon. Ia merupakan anjuran Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Korea Selatan di Sabah. Masidi berkata, sekiranya masalah komunikasi dapat diatasi, ia merupakan satu petanda positif dalam usaha menarik lebih ramai pelancong Korea ke Sabah. Menurutnya, sebanyak 40 peratus daripada pelancong Korea yang berkunjung ke Malaysia akan melawat ke negeri Sabah.
Jelasnya, ia merupakan satu perkembangan baik kepada industri pelancongan Sabah dan sekiranya masalah komunikasi dapat ditangani dengan sempurna, jumlah kehadiran pelancong Korea ke Sabah boleh dipertingkatkan pada masa depan.

"Selain itu, penerbangan terus dari Sabah ke Korea turut menjadi pemangkin dan sokongan terbaik kepada kehadiran pelancong dari negara maju itu ke negeri bawah bayu ini," katanya.
Tambahnya, kepelbagaian suku kaum di Sabah, destinasi pelancongan menarik dan pulau-pulau indah telah menarik minat pelancong asing untuk berkunjung ke Sabah. Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai dapat memberi pertolongan kepada pelancong asing yang mengalami kesusahan ketika berada di negeri ini. Jelasnya, perbuatan baik tersebut akan mendorong mereka untuk kembali ke Sabah, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi negeri dan secara tidak langsung, ia mencerminkan budaya rakyat Malaysia yang ramah tamah.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.