Friday, 31 December 2010

Pameran Artifak Warisan tampilkan 2,000 artifak China dan Islam

MELAKA 30 Dis. - Bagi pencinta sejarah, khususnya berkaitan tamadun China dan Islam, 'Pameran Artifak Warisan' yang kini berlangsung di Balai Sheikh Al-Hadi, Bastion House di sini adalah suatu yang harus dikunjungi. Menampilkan 2,000 artifak termasuk yang tertua berusia antara 4,700 dan 2,900 tahun sebelum Masehi iaitu koleksi patung jed dari zaman Hongshanshou, pameran itu bermula sejak Selasa lepas dan berakhir 15 Jun depan. Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Khamis Abas berkata, bagaimanapun hanya 300 artifak dipamerkan pada satu-satu masa. "Kita gilirkan artifak sebulan sekali untuk dipamerkan," katanya pada sidang media mengenai pameran itu di sini hari ini.

Khamis berkata, turut dipamerkan ialah patung "terracotta" atau tanah liat yang dipercayai berusia 210 tahun sebelum Masehi iaitu semasa era Maharaja Qin Shi Huang. Juga dipamerkan barangan porselin tinggalan Dinasti Ming (1368- 1644) dan barangan gangsa dari Dinasti Zhou yang berusia lebih 2,000 tahun, katanya. Katanya, artifak itu dipinjamkan oleh sebuah keluarga dari Kuala Ketil, Kedah yang mewarisi kira-kira 8,000 artifak China dan Islam daripada nenek moyang mereka. Bagaimanapun kata beliau, tidak semua artifak itu akan dipamerkan kerana faktor keselamatan. "Antara artifak yang Perzim tidak dapat pamerkan ialah satu set cop mohor maharaja dari Dinasti Ming diperbuat daripada jed dan set itu bernilai AS$100 juta, serta artifak al-Quran yang diukir daripada emas bernilai AS$24 juta," katanya. Pameran dibuka kepada pengunjung dari 9 pagi hingga 6 petang, manakala tiket dijual pada harga RM12 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak.

Sementara itu mengulas isu berlainan, Khamis berkata, Perzim mensasarkan 800,000 orang mengunjungi 22 muzium kendaliannya. "Semalam kita sudah capai 700,000 pengunjung untuk tahun ini. Setakat ini kita berjaya menambah kira-kira 15 peratus pengunjung setiap tahun," katanya. Tahun lepas muzium kendalian Perzim menerima 677,875 pengunjung yang mana Muzium Samudera mencatat jumlah teramai iaitu 367,522 pelawat. Khamis berkata, Perzim juga akan melancarkan sebuah lagi muzium bertempat di Pulau Besar, pada 15 Jan ini.
Selain itu katanya, Perzim juga akan membangunkan Muzium Hang Tuah dan Rumah Lima Bersaudara menerusi projek Perkampungan Hang Tuah di Duyong. Kedua-dua projek Perzim itu dijangka siap pada awal 2012, katanya.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.