Tuesday, 21 December 2010

Pelancongan berasas perayaan wajar dicontohi

KUALA LIPIS 20 Dis. - Kejayaan Jawatankuasa Projek Inap Desa (JPID) dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Medang merintis program pelancongan berasaskan perayaan sewajarnya dicontohi pengusaha lain di negeri ini. Jalinan kerjasama antara masyarakat Melayu tradisional Hulu Jelai dengan umat Islam Singapura wajar diperkukuhkan menerusi usaha kegiatan dakwah seperti acara korban, keluarga angkat dan hubungan budaya. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha itu mengeratkan lagi hubungan masyarakat Kuala Medang dengan Melayu Singapura.

''Dari segi sejarah, budaya Melayu tempatan Pahang dan Melayu Singapura adalah sama, malah dapat dieratkan lagi menerusi kerjasama dalam bidang pelancongan. ''Justeru, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan kampung yang terbabit dengan projek inap desa melaksanakan pelbagai program pertukaran budaya di samping mengukuhkan silaturahim menerusi ibadah korban dan kegiatan bercorak keagamaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Penghulu Mukim Hulu Jelai, Mohd. Razaki Abdul Razak berkata, kejayaan pelancongan berasaskan perayaan antara usaha promosi yang giat dilaksanakan oleh JKKK dan JPID Kuala Medang ketika melawat Singapura, Korea dan Jepun beberapa tahun lalu. ''Kesungguhan kita berbaloi apabila sejak tiga tahun lalu, pelancong Islam dari Singapura tidak putus-putus melawat ke kampung ini ketika musim perayaan terutama melaksanakan ibadah korban," katanya.

Mohd. Razaki berkata, keunikan dan keindahan alam sekitar serta budaya Melayu Kuala Medang turut dikongsi oleh pelancong Korea, Jepun dan negara-negara Scandinavia apabila memilih untuk beraya dengan keluarga di situ sejak beberapa tahun lalu. Sementara itu, Tok Batin Orang Asli Islam Kampung Pantos, Abdul Rahman Abdullah berkata, tahun ini merupakan kali ketiga ahli Pergas dari Singapura menyumbangkan daging korban kepada penduduk Islam di kampung itu. ''Kami bersyukur dan berterima kasih kerana ada umat Islam dari negara lain datang beramal jariah terhadap kami yang tidak berkemampuan di sini.

''Keprihatinan umat Islam Singapura menterjemahkan nilai kemanusiaan tanpa membezakan etnik membuktikan kekuatan ajaran Islam dan usaha dakwah yang berkesan," katanya. Rakannya, Ayub Abdullah, 60, terharu apabila menerima sumbangan daging korban, beras dan pakaian terpakai daripada rombongan Singapura itu baru-baru ini. ''Kami berasa lebih senang dan gembira kerana sifat yang cukup mesra yang ditunjukkan rombongan berkenaan walaupun kehidupan kami agak mundur," katanya. Tambahnya, hubungan erat antara Orang Asli Pantos dengan umat Islam Singapura merangsang penduduk kampung itu untuk lebih dekat dengan Islam malah, menanam minat anak-anak mereka dalam pelajaran di samping menonjol budaya mereka kepada masyarakat antarabangsa.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.