Monday, 28 July 2025

Tour Gateh D'Tranung tarik 26 pasukan dalam dan luar negara

 

KUALA TERENGGANU: Biarpun berbaki tiga bulan lagi sebelum saingan Tour Gateh D'Tranung membuka tirainya pada Oktober ini, kehangatannya sudah mula dirasai. 

Selain penyertaan pasukan terbaik Asia, Terengganu Cycling Team (TSG), sepuluh pasukan dari luar negara turut mengesahkan kehadiran untuk menyertai perlumbaan edisi keempat itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kejohanan yang bakal bermula 25 Oktober hingga 3 November itu turut disertai 12 pasukan tempatan. 

"Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM216,000 itu menarik kehadiran 12 pasukan tempatan dan 14 pasukan dari luar negara menjadikan keseluruhan 24 pasukan.

"Indonesia paling banyak menghantar pasukan iaitu Jakarta Pro Cycling Team, ASC Monsters Indonesia dan Pasukan Kebangsaan Indonesia manakala Thailand dan Filipina masing-masing menghantar dua pasukan. 

"Pasukan dari Singapura, Australia, Belanda, China, Hong Kong, United Kingdom dan Jepun turut tidak ketinggalan untuk merasai kehangatan jelajah Terengganu itu apabila masing-masing menghantar satu pasukan menjadikan keseluruhan 14 pasukan dari luar negara yang bakal bersaing dalam kejohanan itu. 

"Pasukan tempatan juga tidak kurang hebatnya dengan kehadiran pasukan yang berpangkalan di Terengganu iaitu TSG selain MPC, pasukan negeri serta kelab tempatan," katanya pada sidang media Tour Gateh D'Tranung di Wisma Darul Iman, petang ini yang turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya. 

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, perlumbaan pada edisi ini akan melalui semua daerah di Terengganu yang bakal bermula di Kuala Nerus dan berakhir di Kuala Terengganu. 

"Pada edisi ini, kita melalui semua lapan daerah di Terengganu sebagai salah satu mempromosikan lagi tempat-tempat yang menarik di negeri ini dengan jarak keseluruhan sejauh 910.5 kilometer (km). 

"Pada kejohanan yang bakal menerapkan elemen kraftangan kayu Terengganu pada semua bahan bercetak termasuk jersi, lima kategori dipertandingkan iaitu Raja Pecut, Raja Bukit, Juara Keseluruhan Individu, Kelab Tempatan Terbaik dan Terbaik Bawah 23 Tahun. 

"Besar harapan kita agar jelajah Terengganu ini bukan sahaja mampu melahirkan lebih ramai lagi pelumba berbakat tapi fokus kita juga untuk memperkenalkan lagi Terengganu sebagai destinasi pelancongan terbaik negara selain menjadikan kejohanan ini sebagai jenama antarabangasa sekali gus dicatat dalam kalendar sukan berbasikal dunia," katanya.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.