PETALING JAYA – Lebih 80 pasukan termasuk media dan pempengaruh (KOL) menyertai acara KL City Hunt 2025 yang berlangsung di Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur, 21 Jun lalu.
Program anjuran Tourism Malaysia Wilayah Tengah itu diadakan bagi mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan bandar bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pengarahnya, Sufian Zainuddin berkata, program itu bertujuan menggalakkan aktiviti pelancongan bandar khususnya pada hujung minggu.
“Acara ini merupakan satu inisiatif dalam menggalakkan aktiviti pelancongan bandar terutamanya semasa cuti hujung minggu dengan meneroka produk pelancongan di sekitar ibu kota,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sufian, sepanjang acara, peserta diberi tugasan berkaitan lokasi bersejarah, budaya dan komuniti di sekitar ibu kota menggunakan pengangkutan awam sahaja.
“Antara aktiviti menarik yang disediakan untuk mempromosikan
destinasi pelancongan negara kita yang bukan sahaja terkenal dengan makanan dan
lokasi menarik, kita adakan tugasan video mempromosi makanan jalanan, mengenal
mercu tanda, yang juga sarat dengan cerita dan sejarah yang membentuk identiti
bandar raya ini.
“Para peserta yang bertanding dalam kumpulan terdiri daripada tiga hingga empat orang dan bersaing merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM15,500,” ujarnya.
Tambahnya, kehadiran pengamal media dan pempengaruh media sosial turut membantu menarik perhatian anak muda untuk lebih mengenali keunikan ibu kota.
“Penganjuran ini juga mendapat perhatian ramai melalui penyertaan
media dan pempengaruh tempatan, yang berkongsi pengalaman mereka secara
langsung di media sosial, sekali gus menarik minat generasi muda untuk
mengenali bandar raya ini dengan lebih dekat,” jelasnya.
–KOSMO! ONLINE.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.