KANGAR: Keunikan perkhidmatan bas Hop-On Hop-Off (HoHo) atau HoHobus yang terkenal di ibu negara, kini dibawa ke negeri ini untuk merancakkan industri pelancongan selaras Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Ia hasil inisiatif Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar) untuk
memperkukuh tarikan pelancongan sebagai tambahan kepada keunikan sedia ada
seperti motosikal roda tiga atau 'choley' di Kuala Perlis.
EXCO Pelancongan, Seni, Budaya dan Pembangunan Luar Bandar negeri,
Abu Bakar Hamzah, berkata selain menambah keunikan tarikan, inisiatif membawa
HoHobus ke Perlis juga membantu dalam menjana pendapatan penduduk setempat.
Menerusi perkhidmatan HoHobus ini, katanya pihaknya yakin dapat
mengetengahkan keunikan 10 lokasi menarik di bandar ini dan lokasi sekitarnya.
"Kita yakin ia akan mendapat sambutan baik, bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan malah pelancong luar dari negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian HoHobus di Terminal
Perlis Sentral, di sini yang disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed
Faizuddin Putra Jamalullail.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Yang Dipertua MPKangar, Affendi Rajini Kanth berkata, buat masa ini perkhidmatan akan disediakan pada Sabtu dan Ahad bermula jam 9 pagi hingga 8 malam dengan kekerapan bas setiap dua jam.
"Selaras pengenalannya kepada negeri ini juga, tambang promosi dikenakan kepada pengguna iaitu serendah RM3 dengan masa perjalanan dianggarkan sekitar satu jam setengah, yang menyasarkan 10 lokasi menarik sekitar Kangar," katanya.
Antara lokasi pelancongan yang menjadi persinggahan adalah Dataran
Datuk Sheikh Ahmad, Masjid Alwi, Taman Bukit Lagi, Muzium Kota Kayang, Kampung
Warna-Warni di Kuala Perlis, Majis Terapung al-Hussain, Jeti Kuala Perlis,
Medan Ikan Bakar Kuala Perlis dan Pantai Kuala Perlis.
-berita harian online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.