KUALA LUMPUR: Dua syarikat berganding bahu bagi memastikan Semangat Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI terus disemarakkan menerusi pusingan baharu Program Geran Komuniti Merdeka 118 dan Kreatif KL.
Syarikat itu adalah PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta Think City, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata Warisan KL menjadi panduan utama dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 di mana inovasi, peluang dan ruang awam inklusif membentuk identiti sebenar sebuah kota Malaysia.
Katanya, untuk mencapai visi itu, kerjasama pelbagai lapisan amat
penting antara kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), sektor
swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti merentasi kawasan
mewujudkan impak yang bermakna dan berkekalan.
"Perubahan sebenar menuntut rasa pemilikan bersama dan program
geran seperti ini memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat kota
serta merealisasikan aspirasi rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Geran
Kreatif Kuala Lumpur dan Geran Komuniti Merdeka 118 di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed.
Permohonan untuk kedua-dua program geran dibuka mulai hari ini dengan Program Geran Komuniti Merdeka 118 dengan tema Pemeliharaan Warisan Budaya; Pemberdayaan Komuniti; Kandungan & Pengaktifan.
Program Geran Kreatif KL pula dengan tema Identiti & Warisan Budaya; Pengaktifan & Libat Urus; Pertumbuhan Ekonomi & Inovasi; Kelestarian Alam Sekitar.
Mengulas lanjut Dr Zaliha berkata, pelaburan melalui kedua-dua geran itu bukanlah satu inisiatif picisan atau kecil, sebaliknya ia adalah pendekatan dasar yang menyatukan nilai budaya dengan impak ekonomi dan sosial.
Katanya, untuk tahun ini sahaja, terdapat sebanyak 14 projek menerima sokongan di bawah Dana Geran Kreatif KL dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.5 juta.
"Pada masa yang sama, sebanyak 21 lagi projek dipilih melalui pusingan terbaru Geran Komuniti Merdeka 118, dengan tumpuan kita berikan kepada kawasan yang kita anggap sebagai 'nafi warisan bandar'," katanya.
Justeru katanya, bagi memastikan impak jangka panjang beliau menyarankan supaya kedua-dua geran itu dilaksanakan dengan pelaporan impak yang tersusun.
"Kita perlu membina satu garis panduan yang bukan sahaja mengukur kejayaan melalui angka, tetapi menilai perubahan sosial, komuniti dan kualiti ruang awam yang terhasil.
"Hanya dengan pelaporan berkala dan sistem pemantauan yang telus, kita dapat menjadikan inisiatif ini sebagai model rujukan yang boleh disumbangkan kepada agenda global," katanya.
Sementara itu, Arshad berkata, sebagai sebahagian daripada Warisan KL, Merdeka 118 memainkan peranan penting dalam menyokong usaha menghidupkan semula budaya dan menggalakkan pelancongan warisan di ibu kota selain mencapai matlamat penjenamaan negara yang lebih luas.
"Kami berbesar hati kerana Program Geran Komuniti Merdeka 118 kini menjadi sebahagian daripada usaha sama untuk membayangkan semula Kuala Lumpur menerusi Warisan KL," katanya.
Hamdan berkata, pihaknya berganding bahu dengan Program Geran Komuniti Merdeka 118 sejak dari mula lagi dan melihat bagaimana inisiatif akar umbi itu membentuk semula persekitaran bandar berkat sokongan kukuh.
"Inisiatif ini semakin mendapat sambutan di peringkat lapangan,
mencerminkan gelombang perubahan yang lebih luas, di mana rakyat mula
menghidupkan semula ruang awam, memperkukuh identiti setempat dan menjayakan
visi Warisan KL," katanya.
-berita harian online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.