Sunday, 13 July 2025

Pengiktirafan Tapak Frim Forest Park Selangor (FRIM FPS) Sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco

 

PARIS, 11 JULAI |  Tapak FRIM Forest Park Selangor (FRIM FPS) telah berjaya disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO semasa “47th Session of the World Heritage Committee” di Ibu Pejabat UNESCO, Paris. Pengiktirafan yang cukup berprestij ini telah diputuskan oleh 21 ahli Negara Anggota ‘World Heritage Committee’.

Kehadiran delegasi ke sesi ini diketuai oleh YBhg. Dato’ Shaharuddin Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan turut dihadiri oleh YB Datuk Borhan bin Aman Shah, EXCO Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, YBrs. Encik Mohamad Muda bin Bahadin, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN), YBhg. Dato' Dr. Ismail bin Haji Parlan, Ketua Pengarah FRIM, Encik Hazreen Abdul Haleem, Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO, serta pegawai-pegawai kanan dari MOTAC, JWN dan Kerajaan Negeri Selangor.

Dengan kejayaan ini, Malaysia secara keseluruhan telah berjaya menyenaraikan enam (6) Tapak Warisan Dunia UNESCO. Penyenaraian sebelum ini terdiri daripada Taman Negara Gunung Mulu (2000), Taman Kinabalu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka, Melaka dan George Town (2008), Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012) dan Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah (2024).

MOTAC optimis bahawa dengan pengiktirafan ini akan menyuntik nilai tambah yang signifikan kepada FRIM FPS sebagai salah satu produk pelancongan utama di Negeri Selangor seterusnya meningkatkan kedatangan pelancong luar negara ke Malaysia.

-MOTAC.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.