Friday, 18 July 2025

Balai Seni Negara himpun karya kontemporari empat negara

 

KUALA LUMPUR: Pameran KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA melalui seni kontemporari yang menghimpunkan karya dari Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina dirasmikan malam tadi oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot di Balai Seni Negara. 

Pameran anjuran MOTAC melalui Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) itu dibuka kepada orang ramai bermula hari ini sehingga 31 Mei 2026 di Galeri 3A, Balai Seni Negara. 

Balai Seni Negara dalam kenyataan medianya menyebut, inisiatif itu adalah sebahagian daripada agenda diplomasi budaya MOTAC yang terkandung dalam Pelan Strategik 2021–2025, selaras dengan usaha memperkukuh jaringan kerjasama strategik dalam sektor pelancongan dan kebudayaan serantau. 

Pameran ini juga katanya, menyokong visi BIMP-EAGA 2025 yang berteraskan prinsip berdaya tahan, inklusif, mampan dan berdaya saing dari segi ekonomi (R.I.S.E.), selain menjadi pengisian penting sempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini.

"Ia turut memberi fokus kepada refleksi visual seniman dari rantau BIMP-EAGA yang menyentuh pelbagai tema termasuk ekonomi, hubungan sosial, penjagaan alam sekitar, keilmuan serta kearifan tempatan di kawasan timur ASEAN.

"Wilayah yang terbabit meliputi seluruh Kesultanan Brunei Darussalam, Kalimantan, Sulawesi dan Maluku di Indonesia, negeri Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan di Malaysia, dan kawasan selatan Filipina seperti Kepulauan Mindanao dan Palawan," katanya.

Antara seniman Malaysia yang terbabit dalam pameran itu termasuklah Josrie Haral, Muslim Mattajim dan Dr Mohamad Faizuan Mat. 

Sebanyak 12 karya dipamerkan membabitkan elbagai medium termasuk media campuran, instalasi, catan, fotografi, audio dan videografi. Antara karya yang ditampilkan termasuk satu daripada Koleksi Seni Visual Negara oleh seniman Malaysia, Yee I-Lann.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.