KEPALA BATAS, 14 Disember 2023 -
Tourism Malaysia hari ini melancarkan Pakej Arkeopelancongan &
Geopelancongan bagi negeri Pulau Pinang dan Kedah untuk mempromosikan produk
pelancongan arkeologi, geologi dan tapak warisan dunia UNESCO.
Sebanyak 52 pakej pelancongan telah
dibangunkan dengan kerjasama 14 operator pelancongan di Wilayah Utara dan
Wilayah Tengah yang antara lain menawarkan lawatan ke tapak arkeologi Lembah
Bujang dan Sungai Batu, tapak warisan dunia UNESCO George Town, Jerai Geopark
serta Sungai Merbok.
Antara pakej-pakej yang ditawarkan
termasuklah Jerai Geopark Heritage Trail , The Lost A n cient City - Kedah Tua
, Arch aeology Eco Cycling Experience, Penang Heritage Tour , Merbok River
Historical & Mangrove River Cruise , Mount Jerai Guided Tour dan Iron of
Ancient Kedah to the World - The Untold Story 788 BC.
Encik Mohd Roslan Abdullah, Pengarah
Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia berkata, penawaran pakej tersebut
diharap mampu mempromosikan keunikan warisan arkeologi, geopark dan Tapak
Warisan Dunia UNESCO yang terdapat di Pulau Pinang dan Kedah kepada para
pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Di samping itu, pembangunan pakej
ini juga dapat memangkin ke arah usaha pemeliharaan warisan, sejarah dan budaya
tempatan selain mempelbagaikan kegiatan ekonomi dan penglibatan masyarakat setempat,
seterusnya menjana pendapatan kepada mereka. Pembangunan pakej pelancongan ini
juga adalah sebahagian usaha Tourism Malaysia untuk mempelbagaikan pilihan
destinasi pelancongan sebagai persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026”
katanya.
Pembangunan Pakej Arkeopelancongan
& Geopelancongan Pulau Pinang dan Kedah adalah susulan daripada bengkel dan
lawatan produk selama 5 hari 4 malam yang diadakan pada 5 hingga 9 Ogos 2023
dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sungai Petani, Northern Corridor Economic
Region (NCER), pakar arkeologi dan geologi, para pemilik produk pelancongan
serta penggiat industri pelancongan di Pulau Pinang dan Kedah.
Bengkel berkenaan telah memberikan
banyak pendedahan mengenai potensi pelancongan di tapak-tapak arkeologi, geopark
dan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town serta produk pelancongan menarik di
sekitarnya seperti Tapak Rizab Biosfera UNESCO Bukit Bendera, Muzium Arkeologi
Lembah Bujang, tapak arkeologi Sungai Batu, Gunung Jerai dan Kompleks
Pelancongan Sungai Merbok.
Kesemua pakej pelancongan ini telah
dimuatkan dalam sebuah risalah Pakej Arkeopelancongan & Geopelancongan
Pulau Pinang dan Kedah yang kini boleh didapati di laman sesawang Tourism
Malaysia iaitu www.malaysia.travel.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.