PETALING JAYA: Selepas kejayaan dua siri
kejohanan golf grand final yang
berlangsung di luar Lembah Klang pada 2022 dan 2023, Malaysia Flying Golfers
Association (MFGA) menaruh keyakinan pihaknya mampu memperluaskan hubungan
dalam kalangan pemain industri pelancongan negara-negara bukan ASEAN.
Keyakinan
itu bersandarkan kepada sambutan menggalakkan yang diterima daripada peserta
tempatan dan luar negara dalam beberapa siri kejohanan sebelumnya termasuk
grand final di Iskandar Puteri, Johor pada tahun lalu dan grand final di Melaka
baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan
Malaysia, Presiden MFGA, Zulkifli Mohd. Razali berkata, sambutan
menggalakan itu menyuntik semangat dan keyakinan kepada ahli-ahli MFGA untuk
terus menganjurkan kejohanan golf pada tahun hadapan, bukan sahaja dalam negara
bahkan mungkin akan diadakan di negara-negara luar.
“Penyertaan
pemain luar negara seperti dari Korea, Taiwan, Singapura, Brunei, Indonesia dan
Vietnam menjadikan kejohanan grand final kali ini cukup meriah.
“Melalui
kejohanan seperti ini juga ia secara tidak langsung dapat membina dan
mengukuhkan hubungan antara ahli-ahli MFGA dengan agensi-agensi pelancongan
dari luar negara ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah
kepada para pemenang di A’Famosa Golf Resort, Alor Gajah, Melaka, baru-baru
ini.
Menurut Zulkifli, menjalin dan mengeratkan
hubungan menjadi matlamat utama MFGA menganjurkan kejohanan golf dalam kalangan
pemain-pemain industri pelancongan baik di Malaysia mahupun di luar negara
terutama negara-negara ASEAN.
Bagaimanapun,
katanya, MFGA mempunyai perancangan yang lebih besar di mana pihaknya cuba
memperluaskan rangkaian industri pelancongan ini kepada lebih banyak
negara-negara bukan ASEAN.
“Justeru, pada tahun depan, MFGA akan
memantapkan lagi pencapaian berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kita sudah ada track record kita dalam kejayaan
beberapa siri kejohanan golf sebelum Covid-19 dan selepas pandemik.
“Kita
sedar semua pihak menghadapi masalah sebelum dan selepas pandemik Covid-19,
tetapi sekarang ini adalah masa untuk kita bangkit dan kembangkan semula
industri pelancongan negara dengan mengeratkan kembali jalinan dengan
negara-negara ASEAN dan bukan ASEAN yang terputus dahulu.
“Semua
negara ada kumpulan pemain industri pelancongan seperti MFGA, malah mereka
mungkin lebih sukses seperti Thailand contohnya. Jadi kita akan cuba yang
sebaik mungkin untuk membantu mempertingkatkan lagi industri pelancongan negara
melalui kejohanan-kejohanan golf seperti ini,” ujarnya.
Sasaran tarik lebih negara luar
Sememangnya
MFGA berusaha menarik lebih banyak negara-negara luar untuk menyertai kejohanan
golf anjuran MFGA dan tumpuan ini bukan sahaja melibatkan negara-negara ASEAN,
malah negara-negara bukan ASEAN juga.
Manakala
untuk tembusi pasaran Eropah, kata Zulkifli, MFGA perlu terlebih dahulu menjadi
keahlian dalam Pertubuhan Pelancongan Golf Antarabangsa (IGTO).
“Bila
sudah menganggotai IGTO, barulah kita boleh bersuara dan memberi cadangan
bagaimana untuk kita mempertingkatkan industri pelancongan di Malaysia,”
katanya.
Terima kasih Tourism Malaysia
Pihak
MFGA bersyukur dan berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan melalui
Tourism Malaysia yang banyak membantu MFGA menganjur dan menjayakan kejohanan
golf dalam kalangan pemain-pemain industri pelancongan ini.
Zulkifli
berkata, geran-geran daripada kerajaan melalui Tourism Malaysia amat membantu
MFGA dalam mencapai matlamatnya.
“Selain Tourism Malaysia, MFGA juga berterima
kasih kepada semua penaja yang turut menjayakan kejohanan sepanjang tahun ini.
“Jadi,
kita akan teruskan strategi ini pada tahun depan dan lokasi yang menjadi
pilihan untuk tahun 2024 ialah di Damai Laut, Lumut, Perak,” ujarnya.
Pada
kejohanan grand final yang berlangsung selama dua hari di Tiara Melaka Golf and
Country Club dan A’Famosa Golf Resort, pemain yang juga ahli MFGA, Nasaruddin
Abd. Basir muncul juara gross selepas mencatat 145 pukulan keseluruhan.
Manakala
Ramlan Md. Nor pula muncul juara Medal A dengan pungutan 80 mata. Juara Medal B
pula milik Osman Manan dengan 78 mata dan juara Medal B dimenangi oleh Badar
Sharif selepas maraih 77 mata.
Sementara
itu bagi kategori jemputan pula, wakil dari Utusan Malaysia, Imran Mohamad Nor
muncul juara pada hari pertama di Tiara Melaka Golf and Country Club, manakala
Roslan Pie dinobatkan juara pada hari kedua di A’Famosa Golf Resort.
Roslan
juga muncul sebagai pemain bertuah apabila turut menang hadiah utama cabutan
bertuah berupa televisyen 55 inci.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.