KANGAR: Perlis sudah sedia menerima kunjungan
lebih 3.5 juta pengunjung yang menjadi sasaran bersempena Tahun Melawat Perlis
2024-2025 (TMP2024-2025).
Semalam, berlangsungnya Majlis Pelancaran
TMP2024-2025 yang penuh gilang-gemilang di Dewan 2020, di sini sekali gus bakal
bermulalah Tahun Melawat Perlis.
Perlis menetapkan lima kluster lokasi
pelancongan di negeri ini merangkumi Jejak Pelancongan Eko, Jejak Pelancongan
Agro, Jejak Pelancongan Budaya, Sejarah, Seni dan Warisan, Jejak Pelancongan
Membeli Belah dan Makanan; dan Jejak pelancongan Sukan dan Rekreasi sekali gus
bakal memberi lebih pilihan kepada pelancong yang datang ke negeri ini.
Justeru, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed
Faizuddin Putra Jamalullail menyeru kepada rakyat negeri ini agar memberi
layanan terbaik buat pelancong bersempena TMP2024-2025.
Titah baginda, berilah layanan yang beradab,
sopan santun, berbudi bahasa, mesra dan sentiasa menjaga imej bagi memberi
persepsi baik buat para pelancong.
Baginda bertitah, selain itu, para pengusaha
rumah inap , pelancongan, pemilik restoran, pengendali pengangkutan awam dan
pihak berwajib juga perlu menambah baik prasarana masing-masing buat semua
pelancong.
“Paling penting ialah kita perlu
peka kepada kehendak pelanggan supaya pelancong akan bertandang berulang kali.
Rakyat Perlis umumnya secara tidak langsung merupakan duta TMP2024-2025 dan
perlu memainkan peranan masing-masing,” titah baginda pada Majlis Pelancaran
Perdana TMP2024-2025.
Dalam pada itu, Tuanku Syed
Faizuddin bertitah, TMP2014-2025 bakal menampilkan pelbagai lokasi pelancongan,
produk tempatan, acara dan warisan yang terdapat di negeri ini untuk dinikmati
oleh para pengunjung.
“Pengunjung boleh meluangkan masa
dengan meneroka keindahan dan keistimewaan di Perlis bagi merasai makanan unik
dan melawati tempat-tempat menarik dengan kos berpatutan,” titah baginda.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli
pula berkata, Perlis sememangnya sesuai dilawati oleh segenap lapisan
masyarakat baik dari dalam mahu pun luar negara kerana menawarkan suasana
tenang kepada para pengunjung.
“Oleh itu, Perlis benar-benar
mempunyai potensi untuk menjadi salah satu destinasi eko pelancongan di
Malaysia. Malah negeri ini juga berada pada landasan terbaik untuk menjadi
antara negeri pilihan utama pelancong.
“Kemajuan dalam industri
pelancongan mempunyai banyak potensi khususnya dalam mempercepatkan pembangunan
negeri.
Perkembangan sektor pelancongan
negeri memberikan kesan limpahan ekonomi kepada banyak pihak sama ada secara
langsung atau tidak langsung.
“Penganjuran TMP2024-2025 menjadi
pemangkin untuk menyokong industri pelancongan khususnya dalam merealisasikan
sasaran bagi menerima seramai 3.5 juta pelancong ke negeri ini pada tahun
hadapan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.