Saturday 16 December 2023

Tourism Malaysia Lancar Pakej Minat Khas Houseboat 2023/2024

 


PUTRAJAYA, 15 Disember 2023 - Tourism Malaysia telah melancarkan pakej minat khas ‘Houseboat 2023/2024’ bagi mempelbagaikan penawaran produk minat khas di pasaran.


Sebanyak 11 pakej pelancongan houseboat ditawarkan oleh enam (6) agensi pelancongan untuk tempoh perjalanan dari 1 Disember 2023 sehingga 30 Jun 2024 melibatkan lokasi houseboat yang popular iaitu di Royal Belum, Perak dan Tasik Kenyir di Terengganu.


Pakej-pakej ini menawarkan kepelbagaian pengalaman percutian melalui aktivitiaktiviti seperti berkayak, berakit, memancing, memanah, menjejak Rafflesia, merentas hutan, memasak kuih tradisional, bermain paintball dan banyak lagi. Pakej-pakej ini boleh mula ditempah mulai sekarang dengan tempoh sah perjalanan adalah sehingga 30 Jun 2024.


Promosi pakej minat khas houseboat ini mengambil kira kesediaan produk yang terdapat di Royal Belum di Perak dan Tasik Kenyir di Terengganu. Untuk rekod, jumlah houseboat yang berdaftar di Royal Belum adalah sebanyak 41 buah houseboat dengan penawaran sebanyak 615 katil sehari manakala di Tasik Kenyir mempunyai 86 buah houseboat dengan penawaran sebanyak 1,290 katil sehari.


Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, segmen houseboat dilihat sebagai satu alternatif percutian berkumpulan kepada orang ramai. Promosi pakej sebegini memberi peluang untuk orang ramai mengambil kesempatan untuk bercuti sekeluarga ataupun bersama kawan-kawan sempena cuti sekolah dan cuti hujung tahun. Ia juga dapat membantu menjana aktiviti ekonomi masyarakat setempat secara tidak langsung.


Enam (6) agensi pelancongan yang turut menjayakan kempen pelancongan minat khas houseboat ini adalah Al Fateh Travel Sdn Bhd, Ad-Deeni Travel & Tours Sdn Bhd, Mona Holidays Sdn Bhd, Al-Maziah Travel Sdn Bhd, MLS Holidays Sdn Bhd dan Ping Anchorage Travel & Tours Sdn Bhd.


Maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh diperoleh menerusi laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.