Tuesday 19 December 2023

Haslina dilantik CEO baharu LADA

 


LANGKAWI: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).


Jawatan tersebut sebelum ini tidak diisi selama 10 bulan selepas pemangku terdahulu, Nasaruddin Abdul Muttalib dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kastam, awal Februari lalu.


LADA menerusi kenyataan pada Facebook rasminya turut mengalu-alukan pelantikan Haslina yang berkuat kuasa sejak Jumaat lalu.


Beliau sebelum ini turut berpengalaman sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.


“Seluruh pengurusan dan warga kerja LADA merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan selamat datang ke LADA kepada Datuk Haslina Abdul Hamid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu,” kata kenyataan itu.


Haslina berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 27 tahun dengan jawatan pertama sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Latihan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 23 Mac 1996.


Beliau berkelulusan Sarjana Undang-Undang dari Universiti Keio, Jepun dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pentabiran (Kepujian) dari Universiti Malaya.

LADA diperbadankan di bawah Akta Parlimen (Akta 423) dan ditubuhkan pada 15 Mac 1990.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.