Sunday 10 December 2023

Negeri Sembilan mahu rancakkan kembali pelancongan inap desa

 


TAMPIN: Kerajaan Negeri Sembilan akan merancakkan kembali produk pelancongan inap desa di negeri ini selepas ia turut terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19 sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, selepas pandemik Covid-19, hanya terdapat sembilan daripada 15 inap desa di negeri ini yang masih aktif dan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan negeri kini sedang berusaha untuk meningkatkan kembali imej inap-inap desa yang ada sekali gus untuk turut bersedia untuk menerima kedatangan pelancong khususnya pelancong luar negara.

“Apabila mereka (pelancong asing) datang, kita akan sambut dengan persembahan dan beri mereka minuman istimewa Janda Pulang dengan gula enau. Kita berikan mereka peluang pakai busana Negeri Sembilan, Kebaya Setengah Tiang dan juga pengalaman menyediakan masak lemak cili api.

“Kena ada pengenalan yang menerangkan identiti Negeri Sembilan. Kita tidak boleh beri penginapan sahaja tetapi kita kena beri pengalaman unik kepada mereka,” katanya kepada pemberita sempena Program D’Sawah Run Gemas 2023 di Kompleks Homestay Gemas, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa.

Seramai 582 orang peserta mengambil bahagian dalam pertandingan larian yang melibatkan 13 kategori tersebut.

Sementara itu, Nicole Tan memberitahu, pihaknya juga berhasrat untuk membawa pemain industri pelancongan dari luar negara bagi tujuan mempromosi dan merancakkan industri pelancongan di negeri ini.

Jelasnya, beliau telah bertemu pihak-pihak berkaitan ketika menyertai World Travel and Tourism Meet, World Travel Market London, United Kingdom, baru-baru ini.

“Fasa pertama telah saya adakan di mana saya ke London, sudah mengenal pasti siapa pemegang taruh yang boleh datang ke Negeri Sembilan, ini baru pengenalan. 

“Selepas ini di fasa kedua, kita kena kuatkan huhungan supaya mereka ada kepercayaan ke atas komitmen kami untuk mempromosikan pelancongan kita di sini termasuk inap desa,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.