KANGAR, 11 Disember 2023 - Seramai 10 pengamal media
terdiri daripada wakil media elektronik, penghasil kandungan serta pempengaruh
media sosial dibawa menyertai Program Lawatan Media Influencer Cuti-Cuti
Malaysia Perlis 2023 anjuran Tourism Malaysia selama tiga hari dua malam untuk
meneroka produk-produk ekopelancongan, pelancongan minat khas dan gastronomi di
sekitar Arau, Padang Besar dan Kangar.
Berlangsung dari 6-8 Disember 2023, program lawatan suai
kenal tersebut bertujuan meningkatkan penglibatan media bagi membantu
mempromosikan produk-produk pelancongan domestik yang dilawati secara dalam
talian, khususnya di media sosial.
Antara lokasi yang diketengahkan dalam lawatan kali ini
ialah pengalaman meneroka Gua Wang Burma di Padang Besar yang terletak dalam
jajaran Perlis Geopark. Produk pelancongan tersebut merupakan antara salah satu
destinasi yang ditawarkan dalam 41 Pakej Ekopelancongan Negeri Perlis oleh
lapan pengusaha pelancongan di bawah kelolaan Tourism Malaysia.
Para peserta memulakan eksplorasi dengan cabaran
aktiviti yang menguji adrenalin di ATV Bintong selain meneroka keunikan Kangar
Street Art dan menyertai program Sembang Santai Media bersama penggiat industri
pelancongan Negeri Perlis di Kafe Fairy Le Phenomenal.
Keesokan harinya, para peserta mengunjungi Galeri Diraja
Arau bagi melihat pameran koleksi diraja Perlis serta bertolak ke Gua Kelam
untuk majlis pelancaran Pakej Ekopelancongan Negeri Perlis yang dirasmikan oleh
Encik Mohamed Amin Yahya, Pengarah Kanan Bahagian Domestik & Acara Tourism
Malaysia. Pakej tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk
mempromosikan negeri Perlis sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Produk pelancongan lain yang turut dilawati ialah Taman
Rimba Herba Perlis dan Arked Niaga Padang Besar selain menikmati pemandangan
indah matahari terbit di Wang Kelian Viewpoint.
Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism
Malaysia berkata, program ini diharap dapat memberikan pendedahan tentang
produk-produk pelancongan yang dilawati selain mengeratkan jalinan kerjasama
dengan pihak media serta penggiat industri pelancongan tempatan.
“Menerusi publisiti yang diraih melalui penganjuran
program ini, kita harap usaha ini dapat meningkatkan lagi permintaan orang
ramai untuk melancong serta menjana ekonomi masyarakat setempat sekali gus
menyokong perencanaan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dan Tahun Melawat Malaysia
2026,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.