PETALING JAYA: Perkhidmatan
rangkaian rel dan bas Rapid KL akan dilanjutkan waktu operasinya sehingga 1.30
pagi bersempena sambutan ambang Tahun Baharu 2024 bagi memenuhi keperluan warga
kota yang menghadiri sambutan itu sekitar pusat bandar.
Rapid KL memaklumkan, lanjutan
operasi berkenaan melibatkan 12 stesen rel transit aliran ringan (LRT), transit
aliran masa (MRT) dan Monorel KL, tiga Stesen Bus Rapid Transit (BRT) dan 21
laluan bas Rapid KL dan perantara MRT.
Katanya, stesen-stesen LRT, MRT,
Monorel dan BRT yang dilanjutkan waktu operasi sehingga 1.30 pagi membabitkan
Laluan Kelana Jaya: KLCC, Masjid Jamek dan Laluan Ampang/Sri Petaling: Masjid
Jamek, Bandaraya, IOI Puchong Jaya, Maluri.
Selain itu laluan Monorel: Bukit
Bintang, Laluan Kajang: Bukit Bintang, TRX, Cochrane, Maluri dan MRT Laluan
Putrajaya: TRX dan BRT Laluan Sunway: Sunway Lagoon, SunMed, SunU-Monash.
“Stesen-stesen lain akan menamatkan
operasi seperti biasa. Bagaimanapun penumpang masih boleh keluar dari stesen
berkenaan bagi meneruskan perjalanan. Semua stesen pertukaran rel turun
dilanjutkan operasi bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke
destinasi akhir,” kata Rapid KL dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beberapa laluan bas
Rapid KL yang terpilih juga akan melanjutkan waktu perkhidmatan hingga 1.30
pagi dan antaranya seperti laluan 173 Taman Jasa Utama-Lebuh Ampang, laluan 250
Stesen LRT Wangsa Maju-Lebuh Ampang dan laluan 250 Stesen LRT Wangsa Maju-Lebuh
Ampang.
Dalam pada itu, Rapid KL
menyarankan pengguna menggunakan kad Touch n Go bagi menikmati perjalanan yang
lebih lancar dan mengelakkan kesesakan ketika masuk dan keluar stesen atau
ketika menaiki bas.
“Bagi pengguna token, anda
digalakkan untuk membeli token pergi dan balik sebelum keluar dari stesen,”
katanya.
Selain itu, Rapid KL akan menambah
bilangan anggota dan kakitangan operasi bagi menyokong keperluan operasi dan
membantu melancarkan perjalanan penumpang dan demi keselesaan pengguna,
kekerapan tren bagi semua perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel akan ditambah
bermula pukul 1.00 petang pada hari tersebut sehingga tamat waktu operasi.
“Rapid KL menyarankan warga ibu
kota untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pada hari tersebut bagi
mengelak dari terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas terutamanya
berdekatan kawasan-kawasan yang akan menganjurkan acara sempena tahun baru,”
katanya.
Sebarang makluman lanjut orang
ramai boleh mengikuti Twitter dan Facebook MyRapidKl atau melayari web: www.myrapid.com.my.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.