IPOH:
Sebanyak 120 acara disenaraikan dalam kalendar pelancongan Perak untuk memeriahkan
Tahun Melawat Perak 2024.
Ketua
Pegawai Eksekutif (CEO) Tourism Perak, Nurmalis Musa berkata, acara tersebut
diadakan di semua daerah merangkumi aktiviti peringkat daerah, negeri dan
antarabangsa yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak
berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan.
Menurutnya,
acara yang diadakan itu merangkumi pelancongan berasaskan warisan, makanan,
alam semulajadi, percutian keluarga, kraftangan dan pelbagai segmen pelancongan
yang lain.
“Acara
yang disusun dalam kalendar pelancongan Perak sejajar dengan matlamat mencapai
sasaran kedatangan lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong
antarabangsa.
“Perak
menawarkan pelbagai segmen pelancongan menarik dan sesuai mengikut minat dan
kecenderungan pelancong termasuk yang bercuti bersama keluarga.
“Senarai
semua 120 acara dalam kalendar pelancongan Perak sempena Tahun Melawat Perak
2024 boleh diakses di laman web Tourism Perak,” katanya.
Menurutnya,
Tourism Perak sudah bersedia sepenuhnya untuk menjayakan Tahun Melawat Perak
dan yakin Perak akan menjadi pilihan percutian, seperti yang diharapkan
kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Nurmalis
optimis dapat mencapai sasaran lapan juta pelancong, malah yakin kedatangan
pelancong melebihi sasaran yang ditetapkan.
“Kami
mengharapkan satu pulangan yang baik dari sektor pelancongan sempena Tahun
Melawat Perak 2024. Walaupun kita sasarkan lapan juta pelancong termasuk
pelancong yang bermalam, dalam masa yang sama kita mengharapkan jumlah yang
datang lebih daripada itu.
“Apatah
lagi bandar raya Ipoh dan Perak amnya bukan lagi sekadar menjadi tempat
pelancong singgah untuk menikmati makanan.
“Melalui
promosi yang kita jalankan, trend itu sudah berubah sebaliknya semakin ramai
pelancong yang memilih untuk bermalam di negeri ini, sekurang-kurangnya untuk
satu malam.
“Berdasarkan
trend itu, kami percaya jumlah kedatangan pelancong mampu melebihi sasaran
yang ditetapkan. Saya percaya usaha kerajaan negeri memeriahkan Tahun Melawat
Perak 2024 akan berjaya, sejajar dengan inisiatif yang digariskan di bawah
program Perak Sejahtera 2030,” katanya.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.